Kuala Lumpur: Skuad badminton negara bakal menghadapi saingan sengit pada pusingan awal Kejohanan Badminton BWF Piala Sudirman yang dijadual di Gongguan, China berlangsung dari 10 hingga 17 Mei ini.

Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam laman web rasminya, www.bwfbadminton.org, Malaysia diundi bersama juara tiga kali Korea Selatan dan India dalam Kumpulan 1D pada majlis pengundian semalam.

Pencapaian terbaik skuad badminton negara dalam kejohanan dwitahunan itu ialah melangkah ke separuh akhir dan berkongsi tempat ketiga bersama Indonesia pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

Kejohanan berpasukan campuran itu membabitkan 35 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan dengan 12 pasukan ranking terbaik diletakkan dalam Kumpulan 1, yang dibahagikan kepada empat kumpulan kecil.

Sebanyak 12 pasukan ranking terbaik akan bersaing untuk merebut trofi kejohanan manakala pasukan dalam Kumpulan 2, 3 dan 4 akan bertanding untuk memperbaiki ranking masing-masing.

Penyandang juara China mendapat undian agak baik dan dijangka berdepan laluan mudah apabila diundi bersama Jerman dan Thailand dalam Kumpulan 1A.

Kuasa besar badminton dunia ini muncul juara sebanyak sembilan kali iaitu pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2005, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

Sementara itu, juara Piala Thomas lalu, Jepun diundi bersama Taiwan dan Amerika Syarikat dalam Kumpulan 1B manakala Denmark, Indonesia dan England dalam Kumpulan 1C. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:23 AM