GANDINGAN Thinaah dan Pearly Tan akan menentang pasangan dari Perancis esok. FOTO FB BAM
GANDINGAN Thinaah dan Pearly Tan akan menentang pasangan dari Perancis esok. FOTO FB BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara M Thinaah dan Pearly Tan Koong Le mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan nombor sembilan dunia Chang Ye Na dan Kim Hye Rin pada pusingan pertama kejohanan Toyota Terbuka Thailand di Bangkok, hari ini.

Thinaah dan Tan yang merupakan pasangan bukan pilihan kejohanan, menunjukkan permainan cemerlang apabila berjaya kembali selepas ketinggalan satu set untuk menang 16-21, 21-15 dan 27-25 ke atas beregu Korea Selatan itu pada perlawanan yang berlangsung di Impact Arena.

Sebelum ini pasangan itu terkeluar daripada Yonex Terbuka Thailand selepas tewas kepada juara kejohanan itu Greysia Polii dan Apriyani Rahayu dari Indonesia 15-21, 12-21 pada peringkat suku akhir di venue yang sama minggu lepas.

"Minggu lepas merupakan kejohanan Super 1000 kami yang pertama, jadi kami belajar dari kesilapan. Kami cuba untuk lakukan lebih baik dan kami kini lebih bersedia.

"Sebelum perlawanan, kami tidak berfikir banyak. Kami tidak dijangka akan menang, jadi kami hanya mahu bermain permainan kami dan itu membantu kami tunjukkan prestasi terbaik," kata Thinaah seperti dilaporkan dalam laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Pasangan Malaysia itu akan bertemu Vimala Heriau dan Margot Lambert dalam pusingan kedua esok selepas pasangan dari Perancis itu mengalahkan pasangan Laksika Kanlaha dan Atitaya Povanon dari Thailand 22-20, 23-21 dalam satu lagi perlawanan pusingan pembukaan.

Satu lagi pasangan wanita negara Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean juga menempah tempat ke pusingan seterusnya dengan mengalahkan pasangan dari Kanada Rachel Honderich dan Kristen Tsai 21-17, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 10:57 PM