POULSEN jaring 63 gol untuk Leipzig. FOTO Agensi
POULSEN jaring 63 gol untuk Leipzig. FOTO Agensi
AFP

YUSSUF Poulsen bersedia mengambil alih tempat ditinggalkan Timo Werner selepas pulih kecederaan buku lali dan membantu RB Leipzig berdepan Atletico Madrid dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara, Jumaat ini.

Selepas menjaringkan 34 gol musim lalu termasuk empat dalam kempen Liga Juara-Juara, penyerang Jerman, Werner berpindah ke kelab Liga Perdana, Chelsea pada Jun lalu.

Walaupun mendapat lampu hijau daripada The Blues, Werner menolak tawaran beraksi pada suku akhir untuk Leipzig demi memberi tumpuan kepada penyesuaian kehidupan di London.

Ketiadaannya memberi peluang kepada Poulsen yang pulih kecederaan buku lali dialami pada Mei lalu bergandingan dengan penyerang pinjaman daripada Czech, Patrik Schick di Lisbon.

"Kami tahu kami tak sepenuhnya dapat menggantikan Timo,'' kata Poulsen kepada media.

"Tetapi saya juga tahu jurulatih mempunyai banyak idea cara menanganinya seperti dalam aksi Liga Juara-Juara sebelum ini.

"Selagi saya dalam kesebelasan utama, saya akan selalu setuju dengan jurulatih,'' guraunya.

Leipzig hanya ditubuhkan pada 2009 dan kali pertama berada dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Selepas menewaskan Tottenham dalam saingan 16 terakhir, mereka bersemangat untuk mengekalkan momentum di bawah kendalian ketua jurulatih, Julian Nagelsmann.

Walaupun baru berusia 26 tahun, Poulsen menghabiskan masa tujuh tahun di Leipzig dan membantu pasukan itu daripada kelab divisyen tiga Jerman kepada pasukan disegani di Eropah.

Pemain antarabangsa Denmark itu menjaringkan 63 gol dan mencipta 51 peluang dalam 250 penampilan bersama kelab dari timur Jerman.

Dia muncul pemain pertama Leipzig mencipta hatrik dalam aksi Bundesliga ketika menentang Hertha Berlin pada Mac 2019.

Sekarang, selepas beberapa minggu berdepan ketidakpastian perlawanan, Poulsen berkata kelab Jerman itu sedia berdepan kelab lebih berpengalaman, Atletico.

"Sudah tentu Atletico pasukan pilihan dan kami lebih 'underdog'.

Sejak bola sepak La Liga kembali pada Jun lalu, prestasi Atletico meningkat. Mereka tidak tewas 11 perlawanan dengan menang tujuh kali dan seri empat.

Salah satu daripadanya ketika menentang Barcelona di Camp Nou yang membantu Real Madrid mengesahkan kejuaraan La Liga selain menjaringkan 20 gol dan bolos enam gol, statistik yang pastinya merisaukan Leipzig.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 10:34 AM