WERNER membuktikan kenapa dirinya menjadi buruan kelab gergasi Eropah. FOTO AFP
WERNER membuktikan kenapa dirinya menjadi buruan kelab gergasi Eropah. FOTO AFP
AFP

PENYERANG, Timo Werner meledak hatrik untuk membantu RB Leipzig membelasah Mainz 5-0 semalam seterusnya melonjak ke tangga ketiga Bundesliga dan menghidupkan peluang mereka untuk memburu kejuaraan liga.

Pasukan bimbingan Julian Nagelsmann itu tujuh mata di belakang pendahulu, Bayern Munich.

Leipzig bangkit selepas hanya seri dengan Freiburg hujung minggu lalu dan Werner sekarang dibezakan tiga gol dengan penjaring terbaik Bundesliga, Rober Lewandoski (Bayern Munich).

Werner, yang dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah, sudah meledak 24 gol termasuk mencipta dua hatrik musim ini.

"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol tapi tidak perlu berasa kecewa kerana kami gembira sekarang," kata Pengarah Sukan Leipzig, Markus Kroesche.

Werner membuka jaringan pada minit ke-11, sebelum Yussuf Poulsen yang melakukan penampilan ke-250 buat Leipzig menanduk masuk hantaran silang Marcel Sabitzer di minit ke-23.

Selepas itu giliran Poulsen pula mengumpan kepada Sabitzer yang menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat.

Werner meledak gol keduanya tiga minit selepas separuh masa kedua bermula hasil umpanan Kevin Kampl.

Ketika berbaki 15 minit, sepakan percuma Poulsen menemui Werner yang melakukan voli menewaskan penjaga gol Mainz, Florian Mueller.

Sebelum itu, Augsburg berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Schalke di tempat lawan.

Cologne pula berkongsi mata dengan Fortuna Duesseldorf selepas mereka mencatat keputusan seri 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 12:45 PM