WERNER meraikan jaringan ketika menentang  Wolfsburg, semalam. - FOTO AFP
WERNER meraikan jaringan ketika menentang Wolfsburg, semalam. - FOTO AFP
Agensi

LIVERPOOL, Bayern Munich dan Real Madrid sudah boleh memasang impian untuk mendapatkan Timo Werner selepas CEO Leipzig, Oliver Mintzlaff mengesahkan pemain itu tidak akan melanjutkan kontrak bersama kelab Bundesliga itu.

Kontrak penyerang berusia 23 tahun itu dijangka berakhir pada 2020 selepas berpindah dari Stuttgart pada 2016.

Prestasinya semakin meningkat bersama Leipzig dan menjadi tarikan beberapa kelab besar sehingga mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya.

Liverpool dan Bayern menjadi pasukan pilihan untuk mendapatkan tandatangannya pada musim panas tetapi Zinedine Zidane turut berminat mendapatkan Werner dalam usahanya memulihkan reputasi Madrid.

Leipzig lebih berminat untuk mengekalkan penyerang berprofil tinggi itu tetapi mungkin terpaksa menjualnya dengan Werner sendiri menyatakan hasrat untuk mencari ‘angin baru’.

Ketika bercakap kepada wartawan ketika rehat babak pertama menentang Wolfsburg, Mintzlaff berkata: “Kami mahu melanjutkan kontraknya tetapi dia telah memberi isyarat mahu meninggalkan pasukan ini.”

Werner menjaringkan gol ketika membantu skuad Ralf Rangnick menewaskan Wolfsburg 2-0.

Pemain antarabangsa Jerman itu menjaringkan 14 gol dan menghasilkan lima bantuan jaringan dalam liga musim ini dan meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik meraih slot Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:03 PM