WERNER tak menjadi bersama Chelsea.
WERNER tak menjadi bersama Chelsea.
Reuters

Munich: Penyerang Chelsea dari Jerman Timo Werner kembali ke kelab Bundesliga, RB Leipzig dengan menandatangani kontrak empat tahun, umum kedua-dua kelab awal pagi tadi.

Media British berkata, Leipzig membawa semula Werner dengan harga 25 juta pound (RM134.49 juta) selepas Chelsea membayar penyerang Jerman itu klausa pembebasan 45 juta pound (RM242 juta) pada 2020.

Pemain berusia 26 tahun itu beraksi di RB Leipzig antara 2016-20 dan muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kelab dengan 95 gol.

"Mendapatkan semula Timo Werner adalah perpindahan istimewa bagi kami," kata Pengarah Komersial Sukan Leipzig, Florian Scholz.

"Kami menyaksikan Timo menjadi penjaring terbanyak dan pemain antarabangsa Jerman. Kepulangannya amat bermakna kepada penyokong kerana Timo popular dalam kalangan mereka dan diminati ramai orang."

Werner tampil kali pertama untuk Jerman dalam aksi Piala Konfederasi menentang Australia pada Jun 2017 dan memiliki 50 kap.

"Saya sangat gembira beraksi semula untuk RB Leipzig," kata Werner dalam laman web kelab.

"Saya mepunyai memori hebat di sini ketika kami beraksi cemerlang sebagai pendatang baharu liga.

"Saya terjuga menanti musim baharu dengan Leipzig dan berjumpa semula dengan penyokong. Kami mahu capai banyak kejayaan dan sudah tentu saya mahu menjadi pemain Leipizig pertama meledak 100 gol."

Werner berpisah dengan Chelsea selepas dua tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu menyaksikan dia menjulang Liga Juara-Juara, Piala Super Uefa dan Piala Kelab Dunia pada 2021.

Dia tampil 89 perlawanan bersama Chelsea dan menjaringkan 23 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 7:36 AM