CHENG Hoe sudah memiliki perancangan terhadap De Paula. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
CHENG Hoe sudah memiliki perancangan terhadap De Paula. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


PENAMPILAN calon penyerang naturalisasi terbaharu skuad Harimau Malaya, Guilherme de Paula sememangnya ditagih bagi menambah sengat pasukan negara menjelang misi penting dalam tiga baki aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini.

Ketajaman penyudah tonggak yang berasal dari Brazil itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan apabila dia sudah meledak hampir 62 gol dalam semua saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak mewakili Selangor pada 2015.

Dia yang turut beraksi dengan beberapa pasukan seperti PDRM, Kuala Lumpur dan kini Perak diakui cukup berbahaya di depan gawang dan kehadirannya dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe boleh memantapkan pasukan.

Menurut Cheng Hoe, beliau sudah memiliki perancangan terhadap De Paula namun segala-galanya terpulang kepada kelulusan Persekutuan Bolasepak Antrabangsa (FIFA) mengenai permohonan untuk menaturalisasikan ayam tambatan itu.

Katanya, beliau mengharapkan tonggak berusia 33 tahun itu berjaya meraih status naturalisasi sekali gus mengikut jejak dua lagi rakannya Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

"Buat masa sekarang saya masih tunggu keputusan De Paula daripada FIFA kerana FAM sudah membuat permohonan dan kalau ada memang bagus, kalau tak ada kita kena cara alternatif lain untuk pasukan kebangsaan," katanya.

Untuk rekod, FIFA membenarkan seorang pemain luar dinaturalisasikan dengan syarat perlu bermaustatin dan beraksi selama lima tahun di negara terbabit.

Untuk itu, De Paula yang memulakan penampilannya di Liga-M bersama Selangor lima tahun lalu sudah melepasi syarat berkenaan.

Berdasarkan jadual kelayakan Piala Dunia, Malaysia dijadual menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober.

Skuad negara juga bakal diuji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking 147 dunia iaitu Kuwait pada bulan November sebelum menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Ketika ini, skuad kendalian Cheng Hoe berada di tangga kedua dalam kumpulan G kempen kelayakan dengan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan ke atas Indonesia (dua kali) dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 6:43 PM