KHIDMAT De Paula masih diperlukan Harimau Malaya.
KHIDMAT De Paula masih diperlukan Harimau Malaya.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Daripada tiga tonggak naturalisasi yang ada ketika ini, skuad Harimau Malaya dijangka hanya menyenaraikan dua sahaja pada kempen Piala AFF di Singapura bulan depan.

Hanya seorang akan digugurkan iaitu Liridon Krasniqi dengan Mohamadou Sumerah dan Guilherme de Paula akan dibawa ke saingan serantau itu.

Perkembangan itu dinyatakan pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas beliau mengadakan perbincangan bersama jurulatih, Tan Cheng Hoe baru-baru ini mengenai senarai panggilan pemain untuk Piala AFF itu.

Katanya, alasan utama ketiadaan nama Liridon disebabkan masalah kecergasan di mana tonggak tengah itu masih lagi tidak beraksi bersama kelabnya, Odisha FC di Liga India.

"Saya boleh katakan setakat ini perbincangan dengan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Liridon tidak berada dalam senarai untuk dibawa ke kejohanan Piala AFF 2020 nanti.

"Kita melihat Liridon tidak beraksi banyak perlawanan, jadi kita tidak mahu masalah yang berlaku di Emiriah Arab Bersatu (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) sebelum ini berlaku iaitu dari segi kecergasan," katanya.

Liridon, 29, yang berstatus pemain pinjaman bersama Odisha FC adalah tonggak Johor Darul Ta'zim yang menerima kerakyatan negara ini pada Februari tahun lalu.

Dia pemain naturalisasi kedua negara selepas Sumareh pada 2018 diikuti De Paula pada Mac tahun ini.

Sementara itu, semangat patriotik tonggak kacukan negara, Dion Cools layak dipuji apabila pemain pertahanan itu amat serius mahu menyarung jersi Harimau Malaya di Piala AFF, Singapura, bulan depan.

Menurut Yusoff, Cools yang kini beraksi dengan kelab Denmark, FC Midtjylland tetap mahu membantu skuad kendalian Cheng Hoe meskipun terdapat pelbagai kekangan yang dihadapi pemain itu.

Mengikut garis masa saingan Piala AFF itu, kejohanan serantau membabitkan negara di Asia Tenggara itu akan dilangsungkan di luar kalender aksi Fifa yang menyaksikan mana-mana kelab tidak wajib melepaskan pemain mereka.

Katanya, pemain berusia 25 tahun itu kemungkinan hanya akan menyertai pasukan pada perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF menentang Vietnam, dengan dua aksi awal bertemu Kemboja dan Laos tidak sempat untuk bersama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 9:14 PM