THIEM (kiri) bersama Djokovic ketika memenangi Jelajah Adria bulan lalu. FOTO AFP
THIEM (kiri) bersama Djokovic ketika memenangi Jelajah Adria bulan lalu. FOTO AFP
AFP

PEMAIN tenis nombor tiga dunia, Dominic Thiem akan menderma wang kemenangan Jelajah Adria yang menyaksikan Novak Djokovic dan tiga lagi pemain positif Covid-19, kata bapanya seperti dipetik media Austria.

Thiem menyertai kejohanan pertunjukan anjuran Djokovic pada pusingan di Belgrade itu yang menyaksikan tiada penjarakan sosial dan perlawanan berlangsung di depan ribuan penyokong sekali gus mencetuskan kritikan ramai.

Bapa Thiem, Wolfgang yang turut melatih pemain berusia 26 tahun itu mempertahankan Djokovic apabila menyatakan pemain nombor satu dunia itu tidak melanggar peraturan Covid-19 selain kejohanan itu disasarkan untuk mengumpul dana bagi tujuan amal.

"Sudah tentu menari di kelab malam ketika kejohanan itu berlangsung adalah satu kesalahan tetapi secara prinsipal Djokovic tidak melakukan kesalahan.

"Beberapa ribu euro berjaya dikumpul untuk membantu kanak-kanak menghidap kanser," katanya.

Wolfgang tidak menyatakan kepada siapakah Thiem mahu menderma wang kemenangan itu.

Djokovic sebelum ini menderma lebih 40,000 euro (RM192,000) kepada sebuah bandar Serbia, Novi Pazar yang terkesan kerana pandemik Covid-19 bagi menangani wabak itu.

Selain Djokovic, turut positif Covid-19 adalah Grigor Dimitrov, Borna Coric dan Viktor Troicki.

Djokovic dan isterinya Jelena yang sedang melalui proses kuarantin, kini disahkan negatif wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 1:29 PM