NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC

MONTE CARLO: Novak Djokovic percaya dia akan kembali ke kedudukan teratas dunia biarpun baharu sahaja mengalami kekalahan pusingan ketiga kepada Dominic Thiem di Monte Carlo.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak memenangi sebarang gelaran Grand Slam sejak Terbuka Perancis 2016 dan gagal melangkah ke suku akhir dalam mana-mana empat kejohanan yang disertainya sejak Wimbledon pada Julai lalu.

Djokovic berkata dia akan bermain sama ada di Budapest atau Barcelona minggu depan sebagai pemegang tiket wildcard selepas kembalinya daripada kecederaan siku kanan.

“Sebenarnya saya mahu bermain sebagaimana saya bermain selama ini,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu yang kini di ranking 13.

“Tetapi jelas sekali saya perlu bersabar, yakin di dalam proses, percaya diri sendiri, permainan saya, dan juga orang di sekeliling saya.

“Saya sebenarnya percaya yang jika saya terus melakukan apa yang saya lakukan sehingga kini, percaya dengan diri sendiri, saya tahu saya akan ke sana juga (berada di kedudukan teratas). Saya akan ke sana.”

Djokovic akan terus bekerja dengan bekas jurulatih lamanya, Marian Vajda sehingga penghujung musim gelanggang tanah liat selepas bersama jurulatih Slovakia itu semula buat kali pertama sejak setahun lalu di Monaco.

“Saya rasa semakin bagus setiap hari,” kata Djokovic selepas tewas 6-7 (2-7), 6-2, 6-3 kepada Thiem.

“Saya mempunyai tiga perlawanan di sini. Saya tak jangka apa-apa. Saya bermain tanpa rasa sakit di siku, yang mana adalah penting. Saya ada jurulatih saya, Marian bersama semula. Jadi banyak perkara baik berlaku.

“Banyak yang positif berlaku dalam kejohanan ini. Saya bermain tiga perlawanan.” - AFP 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 4:20 PM