DJOKOVIC disahkan positif Covid-19 minggu lalu. FOTO AFP
DJOKOVIC disahkan positif Covid-19 minggu lalu. FOTO AFP
AFP

PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic yang minggu lalu disahkan positif Covid-19, menderma sebanyak 40,000 euro (RM193,000) kepada bandar di Serbia yang terjejas teruk akibat pandemik itu.

Pemain berusia 33 tahun itu menyalurkan derma kepada bandar Novi Pazar bagi membantu memerangi wabak itu, lapor saluran sukan, SportKlub TV.

Bandar berkenaan diisytihar darurat pada akhir Jun kerana penyebaran wabak itu.

Negara Balkan itu mencuri tumpuan kerana membenarkan Djokovic menganjurkan kejohanan yang bermula di Belgrade pertengahan bulan lalu sebelum penyebaran wabak Covid-19 memaksa penganjur memendekkan kejohanan itu.

Selain Djokovic, tiga lagi pemain, Grigor Dimitrov; Borna Coric dan Viktor Troicki yang beraksi di Jelajah Adria serta jurulatih mereka, Goran Ivanisevic didapati positif Covid-19.

Djokovic kemudiannya menerima kritikan hebat kerana menganjurkan kejohanan itu.

Bintang Serbia itu memohon maaf kerana gagal dalam penganjuran Jelajah Adria apabila tidak mengamalkan penjarakan sosial dan perlawanan dilangsungkan di depan ribuan penyokong.

Djokovic dilaporkan berkata dia memohon maaf kerana kejohanan itu mencetuskan situasi berbahaya.

Isterinya, Jelena turut disahkan positif Covid-19.

Serbia dengan populasi tujuh juta penduduk, dilaporkan mempunyai hampir 15,000 kes positif Covid-19 dengan 281 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 11:12 AM