DJOKOVIC berjaya mara ke perlawanan akhir Jelajah Adria peringkat kedua di Zarda, Croatia. FOTO AFP
DJOKOVIC berjaya mara ke perlawanan akhir Jelajah Adria peringkat kedua di Zarda, Croatia. FOTO AFP
Agensi

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan pertunjukkan yang dikelolakan sendiri olehnya selepas memenangai kedua-dua perlawanan perseorangan di Jelajah Adria di Croatia awal pagi tadi.

Djokovic menyelamatkan tiga mata penentuan untuk mencatat kemenangan 4-3, 4-1 ke atas rakan senegara, Pedja Krstin sebelum menewaskan pemain pilihan peminat tuan rumah, Borna Coric 4-1, 4-1 di depan beberapa ribu penonton di komplek tenis Visnjik.

"Saya harap kami memberikan persembahan terbaik kepada penonton. Terima kasih kepada peminat yang datang dan pulang lewat menyaksikan perlawanan. Beberapa bulan ini kita berdepan saat kesukaran (akibat Covid-19) dan saya harap bilangan peminat bertambah esok," kata Djokovic.

Kejohanan dua hari di permukaan tanah liat di Zadar adalah peringkat kedua Jelajah Adria, dengan aksi sulung di Belgrade hujung minggu lalu diraih Dominic Thiem.

Peringkat ketiga di Mongtenegro pada 27 dan 28 Jun ini terpaksa dibatalkan akibat Covid-19, manakala peringkat terakhir akan berlangsung di Bosnia di bandar Banja Luka pada 3 dan 4 Julai depan.

Kejohanan berkenaan membabitkan lapan pemain, dengan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk aksi round robin,

Set juga dipendekkan kepada tujuh permainan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 2:39 PM