HAMIDIN Mohd Amin.
HAMIDIN Mohd Amin.
Syazwan Msar


HAMPIR tiga bulan tiada sebarang latihan berkontak sekali gus mengharapkan ada berita gembira menerusi usaha Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Reezal Merican untuk mencadangkan supaya perkara terbabit dapat bermula segera.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataannya berkata, cadangan terbabit memberi harapan untuk kemungkinan saingan Liga Super dan Perdana dapat disambung semula dengan lebih awal.

"Sudah pasti ia berita gembira begitu dinantikan seluruh pemegang taruh bola sepak di negara ini yang begitu merindukan bola sepak selepas terhenti lebih tiga bulan lalu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu ekoran pandemik Covid-19.

"Selain itu, kebenaran untuk latihan secara kontak penuh ini juga akan membantu persiapan skuad Bawah 19 (B-19) kebangsaan kendalian Brad Maloney yang mana mereka juga dijadual memulakan kem latihan pusat mulai minggu depan bagi persiapan awal menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

"Kami di pihak FAM ingin berterima kasih Menteri KBS yang sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai industri bola sepak sebelum ini yang mana pertemuan demi pertemuan telah diadakan sepanjang tempoh PKP bagi memastikan pada akhirnya bola sepak dapat dimulakan kembali," katanya.

Sebelum ini semua pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga M) menarik nafas lega selepas KBS memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan bermula 15 Jun lalu.

Reezal Merican berkata semua sukan itu dibenarkan berlatih tanpa sentuhan badan dengan melakukan penjarakan sosial tiga hingga lima meter.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi dan bola jaring serta sukan tempur seperti karate, taekwondo dan silat masih tidak dibenarkan dimainkan secara 'match play'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 10:51 PM