HAMIDIN (dua kanan) menerangkan sesuatu kepada Reezal (dua kiri). FOTO Ihsan FAM
HAMIDIN (dua kanan) menerangkan sesuatu kepada Reezal (dua kiri). FOTO Ihsan FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi persatuan sukan kebangsaan pertama melakukan kunjungan hormat secara rasmi ke atas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, hari ini.

Menerusi kunjungan hormat itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengambil kesempatan memberi taklimat berhubung pelbagai bentuk kerjasama di antara FAM dan KBS.

Antara lain, Hamidin menyentuh aspek kerjasama dua hala dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), projek Kompleks Latihan Pasukan Kebangsaan di Putrajaya, ibu pejabat baharu FAM di lokasi yang sama, projek naturalisasi, pengadil profesional dan kempen #Respect.

“Hasil kunjungan hormat ini menyaksikan Datuk Sri Reezal menyambut baik kehadiran FAM sambil membincangkan prospek pasukan kebangsaan, hubungan FAM dengan ahli gabungan dan kaedah terbaik mempromosi bola sepak wanita.

“KBS dilihat komited dalam menyokong pelan jangka panjang yang direncanakan FAM menerusi peta hala tuju F:30 malah kami juga berbincang mengenai situasi kewangan dan penjanaan pendapatan FAM.

“Dalam pada itu, pertemuan ini juga membincangkan mengenai situasi semasa membabitkan penularan wabak Covid-19 terutama dalam merencana jadual akan datang sukan bola sepak tempatan,” kata Hamidin.

Hamidin yang diiringi oleh dua timbalannya, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta Naib Presiden, Dato’ Ab Ghani Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MFL, turut menjelaskan keputusan FAM dan MFL menunda semua perlawanan liga domestik sehingga tarikh yang ditetapkan susulan wabak Covid-19 sejajar keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung perintah kawalan pergerakan dari 18 hingga 31 Mac.

Sementara itu, Reezal turut menggesa FAM berusaha mencari penanda aras baharu dengan melakar satu ‘landmark’ kemenangan yang boleh mengangkat bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

“Kejayaan yang bakal dicatat itu mampu mencipta gelombang baharu dalam membangunkan bola sepak di semua peringkat,” katanya sambil memuji perancangan FAM yang disifatkan sebagai cukup komprehensif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 11:05 PM