AMIN (kiri) bersama rakan sepasukannya berbuka puasa.
AMIN (kiri) bersama rakan sepasukannya berbuka puasa.
Syazwan Msar

MENJALANI ibadah puasa di tempat asing sudah tentu memberikan seribu satu kelainan selain perlu berhadapan dengan situasi mencabar iaitu perlu menahan lapar serta dahaga lebih 18 jam.

Perkara terbabit dilalui pemain ragbi 15's negara Mohd Amin Jamaluddin yang kini menyertai kelab TV 1834 Pforzheim Rugby di Jerman.

Namun, di sebalik rintangan terbabit sebenarnya lebih mengujinya sepanjang Ramadan adalah tidak dapat menikmati makanan kegemaran iaitu nasi lemak sebagai juadah berbuka puasa.

Mohd Amin yang lebih mesra dengan panggilan Bonzer berkata, pada awal Ramadan dia tidak dapat menahan kelaparan dan dahaga terlalu lama terutama ketika melakukan latihan ringan.

"Saya jangkakan mungkin tempoh berpuasa sama di Malaysia namun hakikatnya berbeza apabila perlu menahan lapar dan dahaga hampir seharian.

"Kebiasaannya berbuka puasa seorang diri saja memandang hanya saya saja beragama Islam dalam pasukan namun terharu rakan dan pengurusan pasukan memahami keperluan dan kehendak sebagai Muslim.

"Walaupun saya cuba masak nasi lemak sendiri, rasanya lain terutama sambal sekali gus berharap dapat pulang segera ke tanah air nanti," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Mohd Amin berkata, hasratnya untuk membuktikan kemampuannya masih lagi tidak kesampaian di Jerman memandangkan saingan liga terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Dia kini hanya menghitung hari untuk pulang ke tanah air sambil mengakui perasaan rindu kepada keluarganya sudah tidak tertahan.

"Sudah tentu rindu kepada keluarga berikutan sudah lama tidak pulang ke tanah air namun sekarang ini masih samar kerana dibimbangi tiket kapal terbang terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 7:45 AM