Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain ragbi negara, Mohd Amin Jamaluddin terus kempunan menjalani ibadah puasa bersama keluarga apabila terpaksa berkorban menyambut Ramadan di perantauan demi menyertai kem latihan bagi mengharungi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada Jun ini.

Walaupun berat hati berjauhan dengan keluarga yang berada di Arau, Perlis, bagi Amin situasi terbabit boleh dikatakan sudah biasa dilalui terutama ketika beraksi bersama kelab berpangkalan di Jerman beberapa tahun lalu.

Amin atau lebih dikenali sebagai Bouncer berkata, sejak beberapa tahun lalu dia menyambut Ramadan bersendirian ketika mewakili kelab TV 1834 Pforzheim.

Katanya, pada peringkat awal sememangnya merancang mahu berbuka puasa bersama keluarga namun hasrat itu terpaksa ditangguh bagi memberi tumpuan kepada kem latihan negara yang diadakan di ibu kota.

"Jika diikutkan pada tahun ini sememangnya merancang untuk berpuasa dengan keluarga namun di kampung ketika ini tiada siapa lagi selepas ibu meninggal dunia tahun lalu. Ayah pula menjalani ibadah puasa di kampungnya di Sabak Bernam, Selangor. Jadinya, situasi sama saja iaitu saya berpuasa bersama rakan saja.

"Sekarang ini, pasukan ragbi negara sedang giat menjalani latihan sebagai persediaan ke ARC menyebabkan tiada masa untuk pulang ke kampung," katanya.

Selain itu, menceritakan pengalaman ketika berpuasa di Jerman sebelum ini, Amin berkata, perkara yang paling tidak boleh dilupakan adalah terpaksa menahan lapar dan dahaga dalam tempoh lebih 18 jam.

AMIN berbuka puasa bersama rakan sepasukan di Jerman tahun lalu ketika mewakili kelab TV 1834 Pforzheim.
AMIN berbuka puasa bersama rakan sepasukan di Jerman tahun lalu ketika mewakili kelab TV 1834 Pforzheim.

"Saya boleh katakan agak menguji kesabaran kerana perlu menahan lapar dalam tempoh lama dan pada masa sama menjalani rutin latihan seperti biasa.

"Kebiasaannya, berbuka puasa seorang diri memandangkan hanya saya saja beragama Islam dalam pasukan, namun terharu rakan dan pengurusan pasukan memahami keperluan serta kehendak sebagai Muslim," katanya.

Selain itu, Amin berkata, sesi latihan bersama pasukan ragbi negara boleh dikatakan agak menguji fizikal dan mental namun situasi terbabit bukanlah bebanan kerana sudah biasa melakukan rutin itu ketika beraksi di Jerman.

"Jika di Jerman, saya mempunyai masa sejam saja untuk berbuka puasa sebelum menjalani latihan atau mengharungi perlawanan. Sekarang ini, saya menjalani latihan seperti biasa dan melihat skuad ragbi negara berada pada tahap terbaik bagi mengharungi ARC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:45 AM