Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara peringkat separuh akhir. FOTO File NSTP
Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara peringkat separuh akhir. FOTO File NSTP
BERNAMA

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meneruskan prestasi cemerlang mereka dengan mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Sepanyol di Barcelona.

Gandingan nombor lapan dunia itu yang juga beregu pilihan kedua, hanya mengambil masa setengah jam untuk mengalahkan beregu pilihan keenam, Mark Lamsfuss dan Marvin Seidel daripada Jerman 21-18 dan 21-13 pada perlawanan suku akhir, menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di laman web mereka; www.bwfbadminton.org.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren turut mempamerkan prestasi mengagumkan dengan menumpaskan pemain pilihan kelima, Rasmus Gemke daripada Denmark, 16-21, 21-17 dan 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung selama 67 minit.

Wakil Malaysia dalam beberapa acara lain, bagaimanapun, kecundang selepas mereka tumpas kepada lawan masing-masing.

Dalam acara beregu wanita, gandingan pilihan keempat Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean, kalah 21-15, 14-21 dan 19-21 kepada pasangan pilihan keenam, Chloe Birch dan Lauren Smith daripada England.

Gandingan nombor sembilan dunia, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai paling menghampakan Malaysia apabila tumpas kepada pasangan bukan pilihan daripada Korea Selatan, Kim Sa Rang dan Kim Hana, 18-21 dan 18-21 dalam acara beregu campuran .

Kejohanan Super 300 Jelajah Dunia BWF menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$170,000 (kira-kira RM712,301)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 11:44 AM