AARON  (kanan) dan Wooi Yik  tewas di tangan beregu Denmark.
AARON (kanan) dan Wooi Yik tewas di tangan beregu Denmark.
BERNAMA

CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton Masters Sepanyol berakhir selepas wakil negara termasuk pasangan beregu tewas kepada lawan masing-masing pada aksi separuh akhir di Barcelona, Sepanyol, malam tadi.

Gandingan beregu negara yang juga pilihan kedua, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik gagal meneruskan kecemerlangan mereka dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$170,000 (RM712,456) setelah tewas 16-21, 22-24 kepada pilihan keempat, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Ia kekalahan ketiga mereka kepada pasangan Denmark itu daripada tujuh pertemuan.

Sementara itu, pemain perseorangan profesional negara Liew Daren turut menghadapi nasib sama selepas tumpas 10-21, 19-21 kepada pemain nombor lima dunia dari Denmark yang juga pilihan utama, Viktor Axelsen.

Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam laman sesawang www.bwfbadminton.com, Kim dan Anders akan bertemu pilihan utama Lee Yang dan Wang Chi-Lin pada final hari ini selepas beregu dari Taiwan itu menundukkan rakan sepasukan mereka yang juga pilihan ketujuh, Lu Ching Yao dan Yang Po Han 21-14, 21-16.

Sementara itu, Axelsen akan menentang Kunlavut Vitidsarn dalam perlawanan akhir selepas pemain Thailand itu menewaskan Ajay Jayaram dari India 22-20, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 12:47 PM