V Shem (kanan) dan Wee Kiong meneruskan rentak cemerlang mereka pada Terbuka India. FOTO NSTP
V Shem (kanan) dan Wee Kiong meneruskan rentak cemerlang mereka pada Terbuka India. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelayakan Sukan Olimpik selepas mara ke suku akhir Siri Super Terbuka India di New Delhi, hari ini.

Juara Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu mara selepas menundukkan pasangan China, Wang Yilyu-Zhang Wen 21-18, 21-16 di pusingan kedua dalam pertarungan selama 28 minit, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Di suku akhir, beregu nombor 14 dunia itu akan menentang pemenang perlawanan antara Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding dari Denmark and Bodin Issara-Nipitphon Puangpuapech dari Thailand.

Namun nasib sama tidak berpihak kepada beregu Hoon Thien How-Teo Kok Siang yang tewas 19-21, 13-21 kepada pilihan kelima, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol dari Korea Selatan dalam aksi pusingan kedua mereka.

Pemain perseorangan nombor tiga dunia, Datuk Lee Chong Wei yang memburu gelaran keempatnya di Terbuka India selepas muncul juara pada 2011, 2013 dan 2014 akan berdepan pemain Hong Kong, Wei Nan pada pusingan kedua hari ini.

Chong Wei, pilihan utama menundukkan Kazumasa Sakai dari Jepun 21-11, 21-17 dalam perlawanan pusingan pertamanya semalam.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran di kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah US$300,000 (RM1.174 juta). Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 6:43 PM