GOH V Shem dan Tan Wee Kiong ketika beraksi menentang beregu Jepun, Takeshi Kamura dan Keigo Sonoda. FOTO Bernama
GOH V Shem dan Tan Wee Kiong ketika beraksi menentang beregu Jepun, Takeshi Kamura dan Keigo Sonoda. FOTO Bernama
BERNAMA

PERJUANGAN Malaysia dalam acara badminton lelaki berpasukan pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berakhir seawal pusingan pertama apabila tumpas 0-3 di tangan Jepun pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, di Jakarta, hari ini.

Liew Daren yang mengetuai cabaran negara sebagai perseorangan pertama gagal menghadiahkan mata pertama apabila tunduk kepada juara dunia, Kento Momota 13-21 dan 14-21.

Malaysia turut gagal meraih mata menerusi gandingan beregu, Goh V Shem/Tan Wee Kiong selepas gagal menyaingi kehebatan beregu di ranking kelima dunia, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda apabila terpaksa akur dengan kekalahan 18-21 dan 18-21.

Skuad badminton negara terus hampa dalam usaha mencuri mata apabila perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia kecundang 21-18 dan 21-17 kepada seterunya, Kento Nishimoto, sekali gus mengakhiri perjalanan Malaysia dalam saingan berpasukan.

Bagaimanapun, sasaran dua pingat tanpa mengira warna yang diletakkan pada kem badminton negara masih berpeluang dicapai dalam acara individu lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran yang akan bermula Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 3:51 PM