Soniia Cheah memastikan mata pertama skuad negara. FOTO File NSTP
Soniia Cheah memastikan mata pertama skuad negara. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


SKUAD badminton wanita negara mempamer aksi cemerlang di Kejohanan Berpasukan Asia apabila berjaya melangkah ke separuh akhir buat kali pertama sekali gus menempah tiket automatik ke Piala Uber di Aarhus, Denmark, Mei depan.

Skuad negara memenuhi impian itu selepas menewaskan Taiwan 3-1 pada aksi suku akhir hari ini di Rizal Memorial Coliseum, Manila.

Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah terus cemerlang apabila menghadiahkan mata pertama untuk skuad negara selepas menewaskan Pai Yu Po 14-21, 21-17, 20-22 dalam tempoh satu jam.

Namun aksi cemerlang Soniia gagal diteruskan oleh beregu negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang tewas 14-21, 14-21 di tangan gandingan Hsu Ya Ching-Hu Ling Fang untuk menjadikan kedudukan semasa terikat 1-1.

Bekas perseorangan utama negara, Goh Jin Wei yang baru kembali beraksi selepas berehat panjang kerana menjalani pembedahan, membuktikan dirinya masih berbisa.

Jin Wei terpaksa bekerja keras sebelum dapat menewaskan Chian Ying Li 21-23, 21-8, 21-12 dalam tempoh 48 minit.

Beregu negara, Pearly Tan-M Thinaah mengesahkan kemenangan skuad negara selepas menewaskan Cheng Chi Ya-Liu Chiao Yun ‬18-21, 21-17, 21-18.

Skuad negara bagaimanapun bakal berdepan tugas sukan di separuh akhir apabila akan bertemu Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 3:23 PM