Chong Wei beri kemenangan pertama kepada skuad Piala Thomas. PIX AFP
Chong Wei beri kemenangan pertama kepada skuad Piala Thomas. PIX AFP
Saiful Affendy Sapran


Kunshan: Skuad Piala Thomas negara menewaskan Korea Selatan 3-2 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C sebentar tadi sekali gus muncul juara kumpulan.

Berlangsung di Pusat Sukan Kunshan, skuad negara yang sudah pun menempah tiket ke suku akhir memperoleh mata pertama menerusi jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan Son Wan Ho 21-18, 21-15.

Gandingan Goh V Shem-Koo Kien Keat yang turun selepas itu tidak mampu menyaingi kehebatan beregu nombor satu dunia Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong apabila tewas mudah 16-21, 11-21.

Pemain perseorangan kedua Iskandar Zulkarnain Zainuddin mempamer aksi terbaik apabila menewaskan Lee Dong Keun 21-17, 21-15 untuk kembali meletakkan Malaysia di depan.

Gandingan Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong pula tewas 14-21, 22-24 ketika bertemu Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.

Perseorangan ketiga negara Chong Wei Feng muncul wira selepas menewaskan Jeon Hyeok Jin 21-13, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 7:05 PM