Jin Wei tidak berdepan masalah atasi Eoon Qi Xuan 21-12, 21-9. FOTO BAM
Jin Wei tidak berdepan masalah atasi Eoon Qi Xuan 21-12, 21-9. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


SKUAD A wanita negara berjaya muncul juara Piala Presiden selepas menumbangkan pasukan B 3-2 dalam aksi yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebentar tadi.

Gandingan M Thinaah-Pearly Tan muncul wira selepas menghadiahkan mata kemenangan apabila berjaya menjinakkan wakil pasukan B, Toh Ee Wei-Yap Ling 21-17, 21-15.

Menurut Thinaah, pasukannya sudah memberikan yang terbaik dan kemenangan awal rakan sepasukan membantu mereka untuk beraksi dengan lebih yakin seterusnya menghadiahkan mata kemenangan.

"Momentum kami juga lebih baik namun masih ada ruang untuk kami memperbaiki permainan kami," katanya ketika ditemui media selepas tamat perlawanan.

Thinaah-Pearly Tan meraih mata kemenangan selepas menewaskan Toh Ee Wei-Yap Ling  21-17, 21-15.
Thinaah-Pearly Tan meraih mata kemenangan selepas menewaskan Toh Ee Wei-Yap Ling 21-17, 21-15.

Sementara itu, Pearly mengakui bahawa dua mata yang disumbangkan rakan sepasukan membuatkan mereka beraksi dengan lebih tenang.

"Memang puas hati dengan permainan hari ini tapi bagi diri saya sendiri masih lagi perlu melihat kembali kesilapan mudah yang dilakukan ketika di dalam gelanggang," katanya.

Mata pertama skuad A diraih oleh perseorangan pertama negara, Soniia Cheah yang berjaya mengalahkan pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina, S Kisona 21-14, 25-23.

Bagaimanapun, gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila menumpaskan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen 21-10, 21-14.

Skuad A wanita negara kembali mendahului apabila juara remaja dunia dua kali Goh Jin Wei mudah menjinakkan Eoon Qi Xuan 21-12, 21-9.

Aksi perseorangan ketiga menyaksikan Lee Ying Ying tidak berdepan masalah untuk menjinakkan K Letshanaa 21-17, 21-7

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 8:57 PM