Mohamed Salah penjaring terbanyak Liverpool setakat ini. FOTO Reuters
Mohamed Salah penjaring terbanyak Liverpool setakat ini. FOTO Reuters
Reuters

POTENSI pembabitan Mohamed Salah mewakili negaranya dalam Sukan Olimpik Tokyo terletak kepada keputusan pemain itu sendiri dan kelabnya di Liverpool menurut Jurulatih Olimpik Mesir.

Laporan media menyatakan Salah antara 50 pemain pilihan yang berada dalam skuad negaranya sekali gus menimbulkan spekulasi Liverpool bakal meneruskan saingan Liga Perdana akan datang tanpa khidmat bintang Mesir itu.

Namun jurulatih skuad Olimpik Mesir, Shawky Gharib berkata mereka tidak akan memaksa pemain untuk menyertai misi pasukan itu.

“Pembabitan Salah dalam pasukan Pharaohs di Tokyo adalah keputusan yang hanya akan dibuat oleh Salah, kelabnya Liverpool dan jurulatihnya, Juergen Klopp,” katanya.

“Kami tidak boleh memaksa Salah untuk terbabit bersama kami kerana undang-undang FIFA tidak memaksanya untuk turut serta.

Kejohanan Olimpik membabitkan peringkat umur bawah 23 tahun tetapi tiga pemain lebih umur dibenarkan beraksi bagi setiap skuad.

FIFA sudah memaklumkan bahawa kelab tidak digalakkan melepaskan pemain lebih umur untuk beraksi di temasya sukan itu.

Salah adalah tonggak Liverpool yang memenangi Liga Juara-Juara musim lalu dan mereka kini mendahului selesa di puncak Liga Perdana Inggeris dengan pemain Mesir itu muncul penjaring terbanyak mereka menerusi 14 gol.

Ejen Salah, Ramy Abbas yang memberi maklum balas mengenai pemain itu dalam Twitter berkata “tiada keputusan dibuat setakat ini”.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 9:03 AM