Penyerang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO Agensi
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah. FOTO Agensi
Agensi

EJEN bintang Liverpool, Mohamed Salah, menafikan dakwaan dilakukan oleh bekas jurulatih bahawa Real Madrid cuba menandatangani penyerang itu pada 2018.

Bekas pemain skuad kebangsaan Mesir, Hany Ramzy berkata, Salah telah berbincang mengenai pendekatan dari Real bersama bos skuad kebangsaan, Hector Cuper, ketika kem latihan Mac 2018 di Switzerland.

Ramzy berkata kepada saluran televisyen Mesir OnTimes Sports bahawa dia hadir dan juga terbabit dengan perbincangan itu, sekalipun dia hanya bergabung dengan staf kejurulatihan di bawah pengganti Cuper, Javier Aguirre.

Namun ejen Salah, Ramy Abbas Issa, menolak tuntutan berkenaan menerusi Twitter semalam.

"Mohamed tidak pernah berbincang perancangan kariernya dengan mana-mana bekas jurulatih," katanya.

Salah mengecapi musim cemerlang 2017-18 dengan meledak 32 jaringan dalam saingan Liga Perdana serta menghasilkan 10 bantuan jaringan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu tewas 3-1 kepada Real dalam aksi final Liga Juara-Juara musim itu, dengan Salah diganti awal selepas dikasari Sergio Ramos.

Salah menjaringkan 91 gol dalam 144 perlawanan sejak tiba di Liverpool dari Roma pada 2017.

Dia membantu Liverpool berada selesa 25 mata di puncak Liga Perdana sebelum aksi ditangguhkan sejak Mac lalu kerana Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 6:47 PM