HARRIF bersorak kegembiraan selepas memenangi saingan Peringkat 5 dari Kuala Kubu Bharu ke Bandar Meru Raya, Ipoh. FOTO Bernama
HARRIF bersorak kegembiraan selepas memenangi saingan Peringkat 5 dari Kuala Kubu Bharu ke Bandar Meru Raya, Ipoh. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat

BUMI Perak menyaksikan kebangkitan pelumba tempatan mencipta sejarah tersendiri dalam perlumbaan berstatus Siri Dunia Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 apabila Mohd Harrif Saleh muncul pemenang peringkat 5 dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh, hari ini.

Ketika percubaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu untuk cuba muncul juara di negeri kelahirannya, Terengganu tidak kesampaian, akhirnya Harrif berjaya membanggakan seluruh rakyat Malaysia di sini.

Ratusan rakyat menjadi saksi henjutan bertenaga Harrif atau lebih mesra disapa Mamat ke garisan penamat di Bandar Meru Raya menewaskan pelumba berstatus WorldTour dari NTT Pro Cycling Team, Maximilian Walscheid dan Matteo Pelucchi dari Bardiani CSF Faizane dengan catatan tiga jam 39 minit 42 saat.

Percaturan strategi jurulatih TSG, Jeremy Hunt melakukan pemecahan di selekoh terakhir nyata membuahkan hasil buat Harrif dan TSG.

PENERIMA Jersi Kuning - pelumba Team Sapura Cycling, Danilo Celano (dua kanan), Jersi Hijau - pelumba pasukan NTT Cycling Team, Max Walscheid  (tiga kanan), Jersi Merah - pelumba Team Sapura Cycling, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (kiri) dan Jersi Putih - pelumba Vino Astana Motors, Yevginiy Federov (kanan)  pada  majlis penyampaian  hadiah selepas tamat  Peringkat 5 LTdL 2020. FOTO Luqman Hakim Zubir

“Memang jurulatih mengarahkan saya untuk berada dalam kelompok lima pelumba di hadapan dan saya cuba berada di posisi terbaik dan Alhamdulillah strategi itu menjadi.

“Saya cuba pecut awal pada baki 300m terakhir kalau sebelum ini saya tunggu pelumba lain, tapi kali ini saya cuba henjut dulu dan bila pecut itu saya guna sepenuh tenaga sampai ke garisan penamat. Alhamdulillah saya berjaya,” katanya.

Harrif mendedikasikan pencapaian itu kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokongnya dan pasukan serta rakan pasukan yang banyak berusaha keras membantunya bergelar juara.

Selesa bersama TSG dan tidak pernah terlintas untuk meninggalkan pasukan itu, Harrif kini mengukir namanya dalam lipatan sejarah LTdL apabila menjadi pelumba negara pertama yang berjaya meraih dua kemenangan peringkat.

Kali pertama diraihnya pada edisi tahun lalu ketika Peringkat 2 di Melaka.

Kali pertama pelumba negara muncul juara peringkat menerusi Anuar Manan pada 2010 ketika bersama pasukan Geumsan Ginseng Asia.

Andai dulu ada suara sumbang yang mempersoalkan kejayaannyanya tahun lalu kerana tiada pasukan berstatus WorldTour, namun bagi Harrif ia sama saja.

Esok saingan akan diteruskan dari Taiping ke Pulau Pinang sejauh 150.9km dengan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 10:15 PM