HARRIF mengangkat tangan sebaik tiba di garisan   penamat di Alor Setar. FOTO Bernama
HARRIF mengangkat tangan sebaik tiba di garisan penamat di Alor Setar. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


PELUMBA Terengganu Cycling Team, Mohd Harrif Saleh bikin gempak lagi apabila membanggakan rakyat Malaysia dengan kejayaannya muncul pemenang kali kedua pada Peringkat 7 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Bagan ke Alor Setar, hari ini.

Permulaan yang diiringi dengan hujan renyai dan laluan landai sejauh 130.4km itu memberi kelebihan buat anak kelahiran Terengganu itu membuktikan pelumba Malaysia juga mampu muncul juara dalam perlumbaan berstatus Siri Dunia.

Henjutan bertenaga Harrif atau lebih mesra disapa Mamat menewaskan pelumba Bardiani CSF Faizane, Matteo Pelucchi dan Taj Jones (Ara Pro Racing) dengan catatan dua jam 53 minit 18 saat dalam aksi penamat beramai-ramai ke garisan penamat.

Bagaimanapun, Harrif yang turut digelar The Samseng Boy menyifatkan kejayaannya itu tidak hadir tanpa sokongan dan bantuan rakan pasukan yang menjadi pembakar semangatnya terus berjuang memburu podium dalam saingan LTdL kali ini.

“Saya tahu hari ini peluang terakhir saya kerana esok banyak laluan berbukit jadi saya kena usaha buat yang terbaik untuk menang.

“Rakan pasukan Carlos (Quintero) dan Nur Amirul (Fakhruddin Mazuki) banyak bantu saya terutama ketika lalu di kawasan angin lintang seterusnya membawa saya berada di kelompok depan,” kata anak jati Kuala Terengganu itu.

Henjutan Harrif bermula pada baki 200m ketika perlumbaan memasuki selekoh terakhir dengan percubaan mencelah membuahkan hasil untuk menobatkan dia selaku pelumba tempatan paling menyerlah dalam siri perlumbaan LTdL edisi jubli perak ini.

Ia kemenangan peringkat kedua Harrif pada LTdL 2020 yang sebelum ini menguasai Peringkat 5 dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dan ketiga dalam sejarah LTdL.

“Syukur pada Tuhan yang memberi rezeki. Tanpa kawan sepasukan saya tidak akan berjaya. Mereka semangat saya sebenarnya.

“Banyak dugaan saya lalui termasuk kecederaan belakang serius sebelum Sukan Sea 2017 tapi semangat saya tak pernah hilang dan hari ini kejayaan terbaik yang saya capai,” katanya yang mula berkayuh di LTdL sejak 2008.

Harrif ketika ini berada di tangga ketiga keseluruhan dalam klasifikasi Jersi Hijau Petronas (raja pecut) dengan ketinggalan lima mata daripada pendahulu daripada pasukan (NTT Pro Cycling Team), Max Walscheid.

Peringkat terakhir LTdL 2020 esok bermula di Dataran Lang-Kuah Langkawi membabitkan laluan sejauh 108.5km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Telaga Harbour dan di dua Pusat Perdagangan Kelana Mas serta tujuh pendakian iaitu di Telaga Harbour dan enam lagi di laluan lebuh raya Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 10:22 PM