SOLSKJAER (kanan) tiada sebarang isu dengan Pogba. FOTO AFP
SOLSKJAER (kanan) tiada sebarang isu dengan Pogba. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mengakui beliau tidak mempunyai sebarang isu dengan Paul Pogba dan keinginannya untuk kembali cergas walaupun pemenang Piala Dunia itu masih terus bercuti akibat kecederaan.

Pogba tidak beraksi untuk United sejak 30 September susulan kecederaan buku lali, tidak beraksi dalam 21 perlawanan untuk kelab dan negara sepanjang tempoh itu.

Namun pemain berusia 26 tahun itu mengundang kecaman kerana melancong ke Dubai dan Miami serta dirakam menari di majlis perkahwinan adiknya di Paris sedangkan dia sepatutnya dalam proses pemulihan.

Ia memberi gambaran yang Pogba tidak berusaha mendapatkan semula tahap kecergasan penuh, tetapi Solskjaer menegaskan ia bukan masalah besar.

“Bagi saya dia salah seorang pemain terbaik dunia. Saya sentiasa mengatakan begitu dan anda sendiri melihat apa yang mampu dilakukannya di padang,” kata Solskjaer.

“Namun dia perlu cergas. Setiap orang akan cedera. Saya sendiri terpaksa berehat selama 18 bulan (ketika menjadi pemain). Saya pergi ke majlis perkahwinan dan saya tidak sihat tetapi masih melakukan perkara-perkara lain.

“Saya juga bukan penari yang terbaik – jelas sekali tidak sehebat Pogba.”

Tiada apa yang dimahukan Solskjaer selain kembali menyaksikan Pogba yang cergas sepenuhnya.

“Ada kalanya anda berasa tidak menyumbang kepada pasukan jika anda tidak boleh bermain. Jadi saya pasti anda akan melihatnya kembali senyum sebaik kembali ke padang,” katanya.

Minggu ini genap setahun Solskjaer mengambil alih tugas pengurus di Old Trafford dan sepanjang setahun itu, United merakam kemenangan ke atas Tottenham, Paris Saint-Germain dan Manchester City, serta memberikan kemenangan kepada beberapa pasukan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 9:31 AM