POGBA dikaitkan dengan perpindahan ke PSG. FOTO Agensi
POGBA dikaitkan dengan perpindahan ke PSG. FOTO Agensi
AFP

London: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata perbincangannya bersama Paul Pogba berlangsung positif ketika laporan mengaitkan pemain tengah Perancis itu dengan perpindahan ke Paris Saint Germain (PSG).

Kontrak Pogba berakhir hujung musim akan datang dan masih belum mencapai persetujuan baharu dengan United.

Pemain berusia 28 tahun itu seringkali dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.

Solskjaer menegaskan pemenang Piala Dunia itu kekal positif mengenai masa depannya di United.

"Saya harap setiap pemain berasakan kelab ini adalah tempat untuk memenangi piala," kata Solskjaer kepada wartawan.

"Apabila anda menandatangani kontrak bersama Manchester United, anda harus bersedia menghadapi cabaran.

"Paul sudah kembali dan dia nampak lebih segar dan sentiasa positif. Sesi perbincangan saya dengannya juga berlangsung positif."

Selepas menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Perdana musim lalu sebelum tewas pada final Liga Europa di tangan Villarreal, United memperkuatkan pasukan dengan membeli Jadon Sancho serta Raphael Varane.

Sancho tiba dari Borussia Dortmund sebelum United bersetuju mendapatkan pertahanan Real Madrid, Varane.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 5:08 PM