MOHD Isam (tiga dari kiri) ketika melancarkan Pra Pelancaran HSNNS 2015.
MOHD Isam (tiga dari kiri) ketika melancarkan Pra Pelancaran HSNNS 2015.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri mensasarkan menarik penyertaan 108,000 peserta pelbagai peringkat umur pada sambutan Hari Sukan Negara Negeri Sembilan 2015 (HSNNS 2015) yang akan diadakan di Stadium Mini Kuala Pilah, selama tiga hari dari 9 hingga 11 Oktober depan.

HSNNS bertujuan merealisasikan hasrat dan aspirasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggalak dan mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan dan cergas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh Mohd Isam Mohd Isa berkata, program itu akan memastikan kelestarian dan kesinambungan bakat sukan bermula di peringkat sekolah rendah hingga peringkat tinggi.

Katanya, selain itu HSNNS diharap dapat meningkatkan mutu sukan ke taraf berprestasi tinggi dalam enam bidang terpilih fasa pertama iaitu bola sepak, basikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga.

“Kita sedia maklum, pembabitan sukan tiada batasnya dan ia harus membabitkan semua pihak sama ada wanita, lelaki, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, kakitangan kerajaan dan pelajar Universiti Awam (UA).

“Justeru, saya berharap program itu dapat dijayakan dengan baik. Satu jawatankuasa dibentuk bagi menyelaraskan sambutan itu kerana bukan saja tertumpu di Stadium Mini Kuala Pilah, malah turut diadakan di peringkat daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya pada Pra-Pelancaran HSNNS.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Azura Sarbin dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sembilan, Fouzee Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:05 AM