FATEHAH (kiri) bersama pemenang pingat emas Crismonita (tengah) dan pemenang pingat gangsa, Yin Yin dari Hong Kong. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
FATEHAH (kiri) bersama pemenang pingat emas Crismonita (tengah) dan pemenang pingat gangsa, Yin Yin dari Hong Kong. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
Azlan Muhammad Zain


NASIB berbeza dialami dua pelumba elit wanita negara, Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Ratu trek negara, Fatehah boleh menarik nafas lega apabila mencapai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dengan menjejak podium pada kejohanan kelas pertama itu.

Dia bagaimanapun muncul pelumba kedua terbaik apabila tewas di tangan pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri dalam dua siri perlumbaan final.

“Final agak sukar bagi saya kerana letih selepas terpaksa beraksi dalam tiga siri perlumbaan pada separuh akhir.

“Sangat gembira kerana bukan saja menaiki podium kali pertama sejak Oktober lalu malah saya melakukan catatan terbaik peribadi 11.248s (kelayakan pecut individu) selepas beberapa tahun,” katanya.

Jelas Fatehah, kejayaan itu mampu menjadi pembakar semangat buatnya selepas tidak menyerlah hingga digugurkan daripada Sukan Asia Jakarta 2018.

Bagaimanapun Farina tidak bernasib baik apabila gagal mencapai KPI menaiki podium selepas tersingkir pada suku akhir bersama rakan sepasukan, Anis Amira Rosidi.

“Saya membuat terlalu banyak kesilapan dan sedikit leka. Tekanan memang ada untuk mendapat tiga kedudukan teratas namun saya akan cuba dalam acara keirin pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 9:33 PM