Azlan Muhammad Zain


RATU trek negara, Fatehah Mustapa terus mempamerkan kebangkitan apabila memastikan emas dalam acara keirin pada Piala Trek Asia di India, semalam.

Keputusannya melakukan pecutan pada saat akhir pada final keirin di Velodrom Kompleks Indira Ghandi di New Delhi, membuahkan hasil apabila berjaya memintas pelumba Indonesia yang sedang meningkat naik, Crismonita Dwi Putri.

Crismonita terpaksa akur dengan perak manakala gangsa milik pelumba Hong Kong, Cho Yiu Yeung pada perlumbaan final yang turut membabitkan dua pelumba Yayasan Sime Darby, Anis Amira Rodisi dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Pada aksi pecut individu semalam, Fatehah meraih perak apabila dikecewakan Crismonita yang meraih emas, sama seperti di Kejohanan Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional pada bulan lalu.

Bagaimanapun Fatehah yang pernah beraksi di Olimpik 2012 itu menggunakan pengalaman luasnya apabila menunggu masa sesuai untuk melakukan pecutan pada saingan membabitkan enam pelumba itu.

Ketika Crismonita selesa mendahului perlumbaan dan menghampiri garisan penamat, Fatehah mengerah kudrat yang ada untuk memastikan dirinya muncul pemenang.

Fatehah mengalami kemerosotan prestasi sehingga digugurkan dari skuad ke Sukan Asia 2018 selain dipotong elaun, kini kembali mempamerkan kebangkitan bermula di Kejohanan Trek Asia Tenggara bulan lalu.

Secara keseluruhan emas yang diraih Fatehah adalah yang keempat bagi Malaysia dengan tiga lagi disumbangkan barisan pelumba trek endurance.

Terdahulu pada hari pertama, skuad kejar-mengejar yang dibarisi Ariff Denial Noor Rosedi, Muhammad Hakimi Nor, Muhammad Yusri Shaari dan Eiman Firdaus Mohd Zamri meraih emas.

Ia disusuli emas Yusri dalam acara scratch manakala Eiman Firdaus memenangi emas kejar-mengejar individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:10 AM