FARINA SHAWATI MOHD ADNAN
FARINA SHAWATI MOHD ADNAN
Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Farina Shawati Mohd Adnan tidak janggal walaupun tewas dalam tiga acara kepada Fatehah Mustapa pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2018 pada hujung minggu lalu.

Farina Shawati adalah antara dua pelumba yang dipilih menggalas cabaran negara di Sukan Asia bulan depan dengan nama Fatehah digugurkan oleh ketua jurulatih, John Beasley.

Namun pada kejohanan yang berlangsung di Velodrom Nasional pada Sabtu dan Ahad lalu, dia yang mewakili Selangor terpaksa akur dengan tiga perak apabila tewas kepada Fatehah dalam acara keirin, pecut individu dan 500 meter ujian masa selain memenangi emas bagi acara pecut berpasukan bergandingan bersama pelumba remaja pada kejohanan

“Saya tidak kisah bagaimana orang melihatnya kerana bagi saya ia bukan satu isu. Sasaran saya adalah lebih jauh termasuk layak ke Olimpik 2020. Keputusan di Kejohanan Trek Kebangsaan itu membakar semangat saya untuk terus berlatih, berjuang dan tidak berputus asa.

“Malah saya gembira dapat memberikan saingan kepada dia (Fatehah). Bagi saya jurang dengannya sudah tidak terlalu jauh, namun pengalaman yang membezakan,” kata pelumba kelahiran Selangor itu.

Selain Farina Shawati, pelumba wanita yang tersenarai ke Sukan Asia untuk bersaing dalam acara pecut adalah Anis Amira Rosidi.

“Jumlah acara yang bakal disertai akan diputuskan jurulatih namun keutamaan saya adalah memastikan tiket ke final dalam acara kegemaran, keirin. Keputusan di Sukan Komanwel Gold Coast (tempat ke-4) memberikan semangat untuk saya memberikan cabaran kepada pelumba lain,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 5:21 PM