WENDY ketika beraksi pada pusingan kelayakan 3m papan anjal individu di Gwangju, hari ini. — FOTO AFP
WENDY ketika beraksi pada pusingan kelayakan 3m papan anjal individu di Gwangju, hari ini. — FOTO AFP
Aida Adilah Mat


WENDY Ng berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita hari ini ketika Nur Dhabitah Sabri gagal mengikut jejak langkahnya.

“Tiada apa boleh dikatakan lagi, ia sesuatu yang cukup indah bagi saya layak ke Olimpik sekali lagi.

“Terima kasih Tuhan dan semua yang terus menyokong saya menghadapi semua cabaran ini,” kata Wendy.

Wendy menamatkan pusingan kelayakan di tangga ke-10 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Gwangju, Korea Selatan dan keputusan itu sudah cukup untuk menempah tiket ke Tokyo selain beraksi pada final acara itu malam esok.

Bagi Wendy, keputusan itu sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata dan hanya air mata dapat menggambarkan perasaannya ketika ini.

“Selepas melihat keputusan, saya rasa sebak dan menangis. Sungguh saya tidak menyangka dapat meraih slot ke Olimpik. Pelbagai dugaan dan cabaran yang saya hadapi termasuk menjalani pembedahan bahu Februari lalu,” katanya.

Wendy yang terpaksa berehat panjang sebelum ini kerana menjalani pembedahan bahu mengumpul 288.60 mata selepas lima terjunan.

China menguasai Pusat Akuatik Antarabangsa Nambu menerusi penerjun muda, Shi Tingmao yang mengumpul 359.40 mata diikuti penerjun Australia, Maddison Keeney, 348.10 mata dan Wang Han 345.80 mata.

Nur Dhabitah pula gagal melepasi pusingan kelayakan apabila menamatkan saingan di tempat ke-25 dengan 249.05 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:47 PM