WENDY (kiri) tidak menafikan mahu bersara itu tetapi segala-galanya masih belum pasti. FOTO AP
WENDY (kiri) tidak menafikan mahu bersara itu tetapi segala-galanya masih belum pasti. FOTO AP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Saya tak ada apa-apa perancangan selepas ini, hanya mahu berehat panjang dahulu."

Demikian penjelasan penerjun negara, Wendy Ng yang seolah-olah memberikan bayangan mahu bersara selepas menamatkan kempen di Sukan Komanwel Birmingham.

Jelas Wendy yang meraih pingat perak menerusi acara 3 meter (m) papan anjal seirama bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri di Birmingham, tiada sebarang perancangan tertentu sepanjang tempoh rehat itu.

"Birmingham adalah penampilan terakhir saya di Sukan Komanwel. Saya gembira kerana pada penampilan terakhir dapat memenangi pingat.

"Selepas ini tiada perancangan lagi. Saya hanya mahu berehat dan memulihkan badan. Semua orang tahu apa yang berlaku kepada saya ketika di Sukan Olimpik Tokyo, jadi saya berasakan sudah tiba masanya untuk berehat panjang," katanya.

Wendy merujuk kepada kecederaan bahu dialaminya ketika di Tokyo sekali gus menjejaskan prestasinya pada penampilan ketiga di temasya sukan terbesar dunia itu.

Ditanya adakah persaraan berada dalam perancangannya, Wendy tidak menafikan perkara itu tetapi tegasnya segala-galanya masih belum pasti.

"Saya bersyukur dengan keputusan yang diperolehi di Sukan Komanwel dan saya tak terfikir mahu beraksi di Sukan Sea (Kemboja) atau Sukan Asia (Hangzhou) pada tahun depan.

"Saya mahu beri tumpuan semula kepada pelajaran di peringkat sarjana dan mempelajari perkara baru selain terjun," katanya.

Wendy, 29, adalah antara penerjun paling senior dalam kem terjun negara selain Datuk Pandelela Rinong dan sudah meraih beberapa pencapaian membanggakan di kejohanan besar termasuk Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:55 AM