Messi (kiri) tonggak Argentina ketika berdepan Nicaragua dalam aksi ‘pemanas badan’ pagi ini. FOTO EPA
Messi (kiri) tonggak Argentina ketika berdepan Nicaragua dalam aksi ‘pemanas badan’ pagi ini. FOTO EPA
AFP

LIONEL Messi menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama tatkala Argentina mencatat kemenangan 5-1 ke atas Nicaragua dalam aksi ‘pemanas badan’ pagi ini menjelang Copa Amerika.

Lawan yang akan beraksi dalam kejohanan Piala Emas manakala Argentina bertarung di Brazil, mempamerkan aksi awal menghampakan dan kurang menyakinkan peminat tuan rumah.

Namun keputusan perlawanan menyuntik semangat skuad yang diketuai Messi yang bedepan satu-satunya perlawanan ‘pemanas badan’ menjelang kejohanan di Amerika Selatan itu.

Messi menjaringkan gol pembukaan selepas 37 minit permainan disusuli gol menarik 96 saat kemudian.

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez turut menyubat dua gol selepas dimasukkan dari bangku simpanan pada separuh masa memberi pilihan di jentera serangan buat skuad kendalian Lionel Scaloni menjelang perlawanan pembukaan menentang Colombia pada 15 Jun.

Scaloni menggantikan tugas Jorge Sampaoli yang dipecat susulan aksi buruk di Piala Dunia lalu, meletakkan sasaran membentuk pemain muda dan menamatkan penantian trofi selama 26 tahun Argentina.

Ia terbukti apabila dalam skuad Copa America kendalian Scaloni hanya Messi, Sergio Aguero dan Angel Di Maria kekal daripada pasukan yang tewas kepada Jerman dalam Piala Dunia di Rio, lima tahun lalu.

Khidmat Messi ternyata diperlukan dalam kejohanan itu yang dijadualkan berlangsung beberapa minggu lagi.

Messi tewas tiga Copa final - 2007, 2015 dan 2016 - dan kali terakhir Argentina memenangi kejuaraan antarabangsa pada kejohanan sama pada 1993, ketika penyerang itu berusia enam tahun. Mereka sudah melangkah ke empat daripada lima final lalu.

Argentina berdepan Colombia di Salvador sebelum menentang Paraguay dan Juara Asia, Qatar dalam kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 2:12 PM