MESSI (kanan) tonggak utama Argentina di Piala Dunia Qatar. FOTO Reuters
MESSI (kanan) tonggak utama Argentina di Piala Dunia Qatar. FOTO Reuters
Reuters

Mexico City: Kapten Argentina, Lionel Messi berkata, juara bertahan, Perancis dan Brazil adalah pilihan untuk memenangi Piala Dunia di Qatar kerana mereka mempunyai kumpulan pemain yang beraksi bersama sejak sekian lama.

Messi berkata Brazil, Jerman, Perancis, England dan Sepanyol sentiasa dilabelkan sebagai pilihan untuk menang tetapi penyerang berusia 35 tahun itu merasakan Perancis dan Brazil adalah dua pasukan terbaik pada saingan bermula 20 November sehingga 18 Disember ini.

"Kita selalu memperkatakan pasukan hebat yang sama. Tapi jika saya perlu memilih, Brazil dan Perancis adalah dua calon hebat untuk memenangi Piala Dunia.

"Mereka mempunyai kumpulan (pemain) yang sama untuk tempoh yang lama. Perancis, selain daripada Euro terakhir yang menyaksikan mereka tersingkir (di pusingan 16 terakhir), mereka mempunyai beberapa pemain yang mengagumkan.

"Mereka mempunyai idea yang jelas dan jurulatih yang sama (Didier Deschamps). Brazil juga sama (di bawah Tite)," kata Messi kepada DIRECTV Sports.

Messi tidak menyebut Argentina, yang tidak tewas dalam 35 perlawanan, antara pasukan pilihan walaupun skuad bimbingan Lionel Scaloni itu memenangi Copa America tahun lalu dengan menewaskan Brazil di final.

Tetapi Argentina baru-baru menyaksikan mereka kehilangan pemain utama iaitu Paulo Dybala dan Angel Di Maria kerana kecederaan.

Scaloni menyifatkan aksi padat sepanjang Oktober bersama kelab masing-masing sebagai 'mengerikan' dan menggesa pemainnya supaya supaya berhati-hati bagi mengelak risiko kecederaan menjelang Piala Dunia.

"Kami berada di tahap yang agak sukar. Pemain bermain banyak perlawanan," kata Scaloni kepada AFAestudio.

Argentina akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November dalam perlawanan pemanas badan terakhir sebelum ke Piala Dunia di mana mereka beraksi perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Arab Saudi pada 22 November.

Turut berada dalam kumpulan sama adalah Mexico dan Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 7:16 AM