Prestasi Fatehah kurang menyerlah di Taiwan. FOTO NSTP
Prestasi Fatehah kurang menyerlah di Taiwan. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak terkejut dengan prestasi semasa ratu trek negara, Fatehah Mustapa di Kejohanan Trek Klasik Antarabangsa Taiwan 2019 di Kaohsiung.

Menurut Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, ia adalah berdasarkan komitmen dipamerkan pelumba terbabit semasa latihan dan program dijalankan.

"Sebenarnya kami sudah menjangkakan persembahan seperti itu berdasarkan komitmen ditunjukkannya.

Terdapat kekurangan jika dibandingkan dengan komitmen sebelum ini," jelasnya.

Pada saingan di Taiwan, Fatehah dilihat gagal menyerlah acara keirin dan pecut individu apabila tersingkir di peringkat awal.

Malah dua pelumba lebih baru berbandingnya, Anis Amira Rosidi dan Farina Shawati Mohd Adnan melakar catatan masa yang lebih baik berbandingnya.

Anis Amira meraih dua emas menerusi keirin dan pecut berpasukan bersama Farina Shawati pada saingan kelas 1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

"Bagi Sukan Olimpik 2020, harapannya untuk layak memang sudah tiada.

Kita mengharapkan dia akan memberikan komitmen terhadap latihan bagi Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2022 jika dia mahu meneruskannya," tambah Jefri.

Malah peluangnya untuk beraksi di ACC 2020 di Korea Selatan dilihat samar susulan peningkatan prestasi yang dipamer dua rakan sepasukannya itu.

Untuk rekod, atlet berusia 30 tahun itu pernah melayakkan diri ke Olimpik 2012 selain meraih pelbagai kejayaan termasuk di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan Sukan SEA.

Bagaimanapun prestasinya merosot sehingga digugurkan ketua jurulatih negara, John Beasley dari skuad Sukan Asia 2018 selain menjalani latihan dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 3:26 PM