KLOPP (dua kanan) meraikan kemenangan pada separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Anfield awal pagi tadi. — FOTO EPA
KLOPP (dua kanan) meraikan kemenangan pada separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Anfield awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp menyanjung pasukannya yang dianggap mempunyai “mental sebesar gergasi” selepas menghasilkan satu daripada kebangkitan menakjubkan dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan mengalahkan Barcelona 4-0 dan layak ke final buat tahun kedua berturut-turut, awal pagi tadi.

“Dengan pasukan lain saya tak fikir ia boleh. Mereka benar-benar mempunyai mental sebesar gergasi,” kata Klopp. “Sukar dipercayai musim yang kami harungi, perlawanan yang kami tempuhi, kecederaan yang kami alami ketika ini.

“Keluar ke sana dan memperagakan persembahan sebegini di padang amat menakjubkan. Saya terlalu bangga menjadi pengurus pasukan ini.

“Apa yang kami lakukan malam ini terlalu istimewa. Saya akan ingat sampai bila-bila.”

ORIGI (kanan) menjaringkan gol pertama Reds di Anfield. — FOTO Reuters
ORIGI (kanan) menjaringkan gol pertama Reds di Anfield. — FOTO Reuters

Liverpool akan berdepan sama ada Ajax atau Tottenham pada final 1 Jun depan di Madrid dan kemenangan menakjubkan Reds mengimbau memori kali terakhir mereka menjulang trofi itu pada 2005 apabila mengatasi defisit 0-3 pada babak pertama final menentang AC Milan di Istanbul.

Bagaimanapun, Klopp menegaskan kepentingan pasukannya mencatat sejarah mereka sendiri sekalipun jika usaha mereka merebut kejuaraan pertama Liga Perdana Inggeris selepas kemarau 29 tahun gagal di tangan Manchester City hujung minggu ini.

“Kami percaya dengan peluang ini, kami tidak membandingkannya dengan Istanbul atau apa saja,” ujar Klopp. “Kami mahu mencipta sejarah sendiri. Jelas kami perlukan babak baharu dan pemain berjaya melakukannya.

“Anda tahu kelab ini adalah adunan suasana, emosi, keghairahan dan kualiti bola sepak. Anda potong satu daripadanya tak mungkin berjaya, kami mengetahuinya.”

Sepakan sudut pantas Trent Alexander-Arnold pada minit ke-79 menyaksikan Divock Origi menjaringkan gol keempat dan kemenangan Liverpool.

“Satu saat genius,” kata Klopp mengenai keputusan pantas Alexander-Arnold. “Saya nampak bola menerjah jaring dan tidak tahu siapa mengambil sepakan sudut dan siapa yang menjaringkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:01 AM