ORIGI menjaringkan gol kemenangan Liverpool susulan sepakan sudut. — FOTO Reuters
ORIGI menjaringkan gol kemenangan Liverpool susulan sepakan sudut. — FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL menghasilkan satu daripada kebangkitan menakjubkan dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila Divock Origi dan Georginio Wijnaldum meledak dua gol untuk membenam Barcelona 4-0 sekali gus layak ke final buat tahun kedua berturut-turut 4-3 secara agregat, awal pagi tadi.

Reds bukan saja berdepan tugas getir untuk mengatasi defisit 0-3, namun menerima tamparan hebat sebelum perlawanan apabila dua senjata serangan paling ampuh Mohamed Salah dan Roberto Firmino diketepikan kerana kecederaan.

Bagaimanapun, Origi dan pemain gantian Wijnaldum muncul wira yang tidak disangka-sangka ketika Barca mensia-siakan kelebihan tiga gol aksi pertama untuk tersingkir daripada Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut selepas mempunyai kelebihan 4-1 ke atas AS Roma pada suku akhir tahun lalu.

“Sekali lagi kami menunjukkan apa saja boleh berlaku dalam bola sepak,” kata Wijnaldum.

WIJNALDUM mengatasi Ter Stegen untuk gol kedua Liverpool di Anfield. — FOTO Reuters
WIJNALDUM mengatasi Ter Stegen untuk gol kedua Liverpool di Anfield. — FOTO Reuters

“Saya amat marah dengan pengurus kerana meletakkan saya di bangku simpanan tapi saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan apabila saya masuk.

“Kami percaya sejak mula. Orang luar (kelab ini), fikir ia tak mungkin, tapi kami masih berjaya melakukannya.”

Di sebalik ketiadaan Salah dan Firmino, anak buah Juergen Klopp tidak pernah hilang keyakinan dan ditambah sokongan padu serta suasana bingit Anfield pada malam aksi Eropah.

Origi hampir pasti tidak bermula dalam kesebelasan utama jika Salah dan Firmino cergas.

PEMAIN Liverpool termasuk Salah (empat dari kiri), pengurus Klopp meraikan kejayaan menyingkirkan Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara. — FOTO AFP
PEMAIN Liverpool termasuk Salah (empat dari kiri), pengurus Klopp meraikan kejayaan menyingkirkan Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara. — FOTO AFP

Namun pemain Belgium itu meneruskan tabiat menjaringkan gol penting dalam cabaran Liverpool mengakhiri kemarau 29 tahun kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan dia meledak gol pertama Liga Juara-Juara pada minit ketujuh, menampan masuk selepas Marc-Andre ter Stegen menafikan percubaan awal Jordan Henderson.

Liverpool dilihat berdepan satu lagi tamparan apabila Andy Robertson tidak boleh meneruskan perlawanan ketika rehat, namun dia memberi laluan kepada Wijnaldum dengan James Milner beralih ke pertahanan kiri.

Wijnaldum menggamatkan Anfield dengan dua gol pantas pada minit ke-54 dan 56.

Pertamanya, pemain tengah Belanda itu menyempurnakan hantaran silang leret Trent Alexander-Arnold dan merembat kencang melepasi Ter Stegen.

Menerusi serangan Liverpool berikutnya, Xherdan Shaqiri melakukan hantaran silang dari sayap kiri yang mudah ditanduk masuk Wijnaldum.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde mengubah formasi apabila mengeluarkan bekas pemain Liverpool, Philippe Coutinho dan menggantikannya dengan Nelson Semedo bagi membolehkan pelawat menukar kepada empat pemain tengah.

Perubahan itu memberi sedikit impak, namun Barca terperangkap dengan sepakan sudut pantas Alexander-Arnold 11 minit sebelum tamat yang membolehkan Origi merembat masuk tanpa dikawal melepasi Ter Stegen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:47 AM