SHAKEEL membantu THT menjulang Piala Sumbangsih musim ini. FOTO Ghazali Kori
SHAKEEL membantu THT menjulang Piala Sumbangsih musim ini. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


BEKAS pemain import Pasukan Hoki Terengganu (THT) kelahiran Pakistan, Ahmad Shakeel Butt, terpaksa ‘berkampung’ di negeri ini kerana tidak dapat pulang ke negaranya akibat konflik dua kuasa nuklear Pakistan dan India yang belum reda.

Shakeel yang sepatutnya dijadualkan pulang ke negaranya Isnin lalu terpaksa menunggu tarikh penerbangan baharu selepas terkandas berikutan ketegangan antara dua negara berjiran itu.

Perkara itu diumumkan sendiri Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Saberi Salleh yang menyatakan pemain kebangsaan Pakistan berusia 23 tahun itu terpaksa menunggu ‘lampu hijau’ daripada syarikat penerbangan sebelum dapat pulang ke negaranya.

“Berdasarkan tarikh terkini yang dimaklumkan syarikat penerbangan berkenaan ialah pada 11 Mac ini selepas penerbangan pertama yang dijadualkan pada 4 Mac lalu terkandas akibat konflik antara Pakistan dan India.

“Bagaimanapun, kami tidak membiarkan pemain itu keseorangan tanpa sebarang bantuan, sebaliknya PHNT mengambil berat kebajikan pemain itu termasuk menanggung kos pemain itu sepanjang berada di sini.

“Manakala lima lagi pemain import THT iaitu Jan Jong Hyun dan Jun Man Jie dari Korea Selatan, Pablo Travisan dan Gonzalo Merino dari Argentina serta Daniel Kyriakides dari Wales sudah selamat kembali ke negara masing-masing,” kata Saberi yang juga pengurus THT.

Shakeel yang sudah dua musim bersama THT adalah antara watak utama kejayaan skuad itu musim ini selepas berjaya menjulang Piala Sumbangsih dan Piala TNB pada 2 Mac lalu menumpaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2-1.

Sebelum ini, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia sudah mengeluarkan amaran perjalanan membabitkan destinasi di utara India selepas ketegangan antara India dan Pakistan.

Indian Airlines sebelum ini juga dilaporkan sudah menghentikan perkhidmatan membabitkan bandar di utara India seperti Amritsar, Chandigarh, Dehradum, Jammu, Leh dan Srinagar.

Malah, Penerbangan Awam Pakistan juga menutup ruang udara kepada semua penerbangan komersial berikutan ketegangan yang berlaku antara New Delhi dan Islamabad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 8:02 AM