FADZIL (kanan) bersama sebahagian pelakon Sara Sajeeda yang terkandas lebih seminggu di Lahore, Pakistan. FOTO Ihsan Fadzil Teh
FADZIL (kanan) bersama sebahagian pelakon Sara Sajeeda yang terkandas lebih seminggu di Lahore, Pakistan. FOTO Ihsan Fadzil Teh
Najiy Jefri


PELAKON dan kru penerbitan drama Sara Sajeeda terkandas lebih seminggu di Lahore, Pakistan akibat ketegangan negara itu dengan India yang masih berlarutan.

Penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh ketika dihubungi Harian Metro berkata, mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada 1 April lalu selepas lebih sebulan berada di sana.

"Akibat ketegangan yang berlaku, beberapa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pakistan terpaksa dibatalkan termasuklah penerbangan balik kami.

"Malah hingga sekarang kami belum dapat kepastian bila tarikh penerbangan baru. Kalau ikutkan saya dan kru merancang untuk pulang pada 16 April ini. Itupun masih belum ada sebarang pengesahan," katanya.

Menurutnya, dua pelakon lain drama terbabit iaitu Fahrin Ahmad dan Tasha Shilla tidak dapat berlepas ke Pakistan akibat masalah itu.

"Sepatutnya Fahrin dan Tasha juga menjalani penggambaran di sini, namun penerbangan mereka dibatalkan.

"Jadi jadual penggambaran di sini sedikit kucar-kacir kerana terpaksa membuat banyak perubahan. Jika perkara ini berterusan kemungkinan babak mereka dibuat di tempat lain.

"Buat masa sekarang, kita hanya dapat teruskan penggambaran membabitkan pelakon Tiz Zaqyah dan hero di sini," katanya.

Terdahulu ketegangan antara kedua-dua negara bermula selepas 42 polis separa tentera India terbunuh akibat serangan bom nekad di Kashmir tadbiran India, 14 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:18 PM