HAFIZUDDIN  kawal gawang THT.
HAFIZUDDIN kawal gawang THT.
Malik Muhamad


“KEHADIRAN penjaga gol berpengalaman dan terbaik dunia dari Ireland, David Harte bersama pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) membakar semangat saya untuk beraksi lebih cemerlang bagi mengelak pintu gol kami dibolosi lawan,” ujar Muhamad Hafizuddin Othman.

Penjaga gol utama Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu berkata demikian menjelang pertemuan menentang UniKL dalam saingan merebut Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Hafizuddin berkata, kehadiran bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin yang kini menjadi penolong jurulatih THT bersama ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan jurulatih dari Korea Selatan, Seo Jongho menyuntik lagi semangatnya untuk beraksi lebih baik.

Hafizuddin yang juga penjaga gol kebangsaan berkata, dia positif dengan kehadiran Harte yang bakal mengawal pintu gol lawan biarpun sedar sudah pasti sukar untuk ditembusi penyerang skuad THT.

HARTE penjaga gol kebangsaan Ireland.
HARTE penjaga gol kebangsaan Ireland.

“Atas kertas sudah pasti pintu gol UniKL sukar ditembusi penyerang THT kerana Harte memegang status penjaga gol terbaik dunia, tetapi ia sebenarnya menyuntik semangat saya untuk bertindak lebih konsisten dalam perlawanan itu.

“Walaupun sukar tetapi saya berkeyakinan rangkaian penyerang THT yang diketuai pemain kebangsaan, Faizal Saari selain pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun sudah pasti mengetahui kelemahan pemain itu kerana musim lalu Harte sudah beraksi bersama UniKL.

“Malah jika dilihat rekod dalam Piala Sumbangsih musim lalu ketika bertemu UniKL, pasukan kami berjaya merangkul trofi itu selepas menumpaskan mereka 3-1 menerusi pukulan penalti shoot-out selepas terikat 2-2,” ujar Hafizuddin.

Sementara itu, kerisauan Dhaarma terhadap dua pemain import dari Pakistan, Ammad Shakeel Butt dan penyerang, Muhammad Umar Bhutta terlerai apabila pemain berkenaan sudah tiba di Kuala Lumpur sebelum aksi Piala Sumbangsih itu.

“Jong Hyun dan rakan senegar, Jung Man Jae sudah bersama menjalani latihan bersama THT, manakala Umar dan Shakeel baru tiba jam 11.30 semalam kerana masalah visa.

“Pemain itu akan turun menjalani latihan bersama kita petang ini sebelum pertemuan malam esok,” ujar Dhaarma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 7:09 PM