Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua tampuk pimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) iaitu Presiden dan Timbalan Presidennya hari ini mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Hotel Casuarina Meru, di sini sebelum disusuli pengumuman peletakan jawatan oleh Timbalannya yang juga pengurus skuad Liga Super Perak, Adly Shah Ahmad Tah.

Ahmad Faizal berkata, surat peletakan jawatannya akan diserahkan kepada Setiausaha Kehormat PAFA sejurus selepas sidang media itu.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana mendakwa persatuan itu kini tidak lagi memperoleh bantuan dan sokongan kerajaan negeri khususnya sumber kewangan dan tajaan disebabkan berkaitan politik dalaman sehingga menjejaskan kedudukan kewangan persatuan.

"Saya ada dengar khabar angin mengatakan ketiadaan sokongan dan bantuan kerajaan negeri adalah disebabkan saya masih Presiden PAFA dan mahu 'melindungi' individu tertentu di dalam persatuan jika saya kekal.

"Sepatutnya, janganlah kita babitkan hal politik dalam bola sepak kerana ia akan merugikan semua pihak terutamanya pegawai serta pemain pasukan. Saya rasakan wajar untuk kerajaan negeri membabitkan diri meneruskan bantuan kerana PAFA tidak mempunyai sumber pendapatan khusus.

"90 peratus pendapatan PAFA bergantung kepada hasil tajaan dan sumbangan. (Apapun) yang penting (susulan peletakan jawatan) asalkan gaji pegawai dan pemain dapat dibayar memalui sumbangan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

AHMAD Faizal surat peletakan jawatannya itu diserahkan kepada Setiausaha Kehormat PAFA. FOTO NSTP
AHMAD Faizal surat peletakan jawatannya itu diserahkan kepada Setiausaha Kehormat PAFA. FOTO NSTP

Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, bagi tahun 2020 pengurusan PAFA di bawahnya terajunya berjaya mendapatkan tajaan sebanyak RM21 juta setakat Oktober yang sekali gus memastikan tiada tunggakan pembayaran gaji serta komitmen kewangan lain sehingga tempoh berkenaan.

"Justeru pembayaran gaji serta komitmen lain sudah diselesaikan sehingga pertengahan November 2020. Bermakna sekarang masih berhutang iaitu bagi separuh akhir bulan November, Disember 2020, dan sehingga saat ini membabitkan kos hampir RM2 juta sebulan," katanya.

Adly Shah yang seterusnya mengumumkan peletakan jawatannya pada sidang media itu berkata, keputusan yang dibuatnya itu adalah disebabkan tidak mahu meletakkan pasukan itu dalam keadaan sulit selain menghormati keputusan Ahmad Faizal yang turut meletakkan jawatan selaku Presiden.

Beliau berkata, tindakan berkenaan bagaimanapun dibuat sendiri tanpa melalui perbincangan dengan Jawatankuasa Eksekutif PAFA selain menegaskan tidak akan membuat pusingan U terhadap pengundurannya seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

"Saya tidak pasti sama ada ketiadaan bantuan dan sokongan kerajaan negeri terhadap PAFA adalah disebabkan saya atau sebaliknya, namun apa yang saya boleh sampaikan perjalanan saya bersama persatuan ini berakhir hari ini.

"Pengunduran kami tidaklah bermakna PAFA ibarat kapal tanpa nakhoda kerana persatuan masih mempunyai tiga Naib Presiden di mana Naib Presiden 1 (Datuk Muhammad Yadzan Mohammad) yang akan memangku jawatan sebagai 'caretaker' (pemangku sementara)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 2:12 PM