PAREDES  mengikat kontrak empat setengah tahun. - Foto AFP
PAREDES mengikat kontrak empat setengah tahun. - Foto AFP
AFP

PARIS: Paris Saint-Germain melengkapkan perjanjian mendapatkan pemain tengah Argentina dari Zenit Saint Petersburg, Leandro Paredes dengan kontrak empat setengah tahun, menurut jurucakap juara Perancis itu hari ini.

Pemain berusia 25 tahun itu mengikat kontrak sehingga 2023 selepas selesai ujian perubatan di Qatar tetapi yuran perpindahan tidak dinyatakan. Namun laporan akhbar melaporkan ia membabitkan 47 juta euro (RM220 juta).

"Kedatangan Leandro mampu mengekalkan momentum sama ada di atas padang mahupun dalam kalangan penyokong menjelang perlawanan utama. Sesuatu yang menarik menunggu di hadapan," kata Presiden PSG dari Qatar, Nasser al-Khelaifi dalam kenyataan kelab.

"Selepas meraih pengalaman di Itali dan Russia, saya tahu ini peluang fantastik, bukan sahaja liga baru tetapi juga menyarung jersi salah satu kelab elit di dunia,” kata Paredes yang akan bergandingan dengan rakan senegara, Angel di Maria di Parc des Princes.

Pendahulu Ligue 1 itu mahu memperkasakan bahagian tengah menjelang saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Manchester United dengan Marco Verratti terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali dan menyisihkan Adrien Rabiot yang enggan menandatangani kontrak baru.

PSG berkunjung ke Old Trafford untuk aksi peringkat pertama pada 12 Februari dan mereka mengharapkan Neymar mampu pulih daripada kecederaan metatarsal dialami minggu lalu.

Paredes yang memiliki sembilan kap tetapi bukan sebahagian anggota skuad Piala Dunia lalu sebelum ini beraksi untuk Boca Juniors dan Roma dan berpindah ke Zenit pada 2017.

PSG mungkin menambah seorang lagi pemain tengah sebelum jendela perpindahan Januari ditutup selepas usaha mendapatkan Idrissa Gueye dari Everton gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 10:01 PM