NEYMAR
NEYMAR
AFP

PARIS: Edinson Cavani menjaringkan dua gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Rennes 4-1 dalam kemenangan yang dibayangi dengan pengakuan ketua jurulatih, Thomas Tuchel bahawa Neymar mungkin terlepas aksi Liga Juara-Juara berdepan Manchester United, bulan depan. 

Neymar tidak dapat beraksi ketika berdepan Rennes awal pagi tadi selepas mengalami kecederaan tulang kaki (metatarsal) yang berulang, ketika kelabnya mencatat kemenangan ke atas Strasbourg pada saingan Piala Perancis, pertengahan minggu lalu

Tanpanya, Cavani menjaringkan dua gol dengan dua jaringan lagi sumbangan Angel Di Maria dan Kylian Mbappe, yang menyaksikan PSG masih belum tewas di saingan Ligue 1 musim ini, dan mempunyai kelebihan 13 mata berbanding Lille yang menduduki tempat kedua. 

Musim lalu, Neymar tidak beraksi selama tiga bulan selepas mengalami kecederaan patah tulang kaki yang sama pada Februari 2018. 

Tuchel berkata, beliau tidak dapat mengesahkan situasi Neymar, tetapi mengakui ia pasti sukar buat pemain itu cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada aksi pertama, pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara di Old Trafford, yang dijadualkan pada 12 Februari ini.

“Masih terlalu awal untuk mengetahui tarikh sebenar Neymar dapat kembali beraksi semula, kerana kami perlu melihat reaksinya kepada sesi rawatan,” katanya. 

Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar dijangka akan melawat pemain termahal dunia itu dengan Selecao juga dilihat memerlukan khidmatnya bagi menghadapi Copa Amerika yang akan dianjurkan pada Jun sehingga Julai.

Ketiadaan Neymar menyaksikan rakan senegaranya, Marquinhos dan Daniel Alves terpaksa beraksi di bahagian tengah berikutan kurangnya pilihan di posisi itu.  

PSG berharap dapat menandatangani segera pemain tengah Argentina, Leandro Paredes dari  Zenit Saint Petersburg, selain turut berminat untuk mendapatkan pemain Everton, Everton's Idrissa sebelum pintu perpndahan berakhir hujung bulan ini.    

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:14 AM