Julian Weigl. FOTO Agensi
Julian Weigl. FOTO Agensi
AFP

BERLIN: Pemain tengah Jerman, Julian Weigl mengesahkan laporan kelab pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund menolak permintaannya untuk berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada jendela perpindahan ketika ini.

“Saya perlu menerima hakikat mereka yang bertanggungjawab di kelab enggan melepaskan saya (daripada kontrak),” kata pemain berusia 23 tahun itu yang sudah lima kali tampil bersama skuad kebangsaan Jerman kepada majalah Sport Bild.

“Sekarang tumpuan penuh saya untuk mencipta kejayaan bersama BVB (Dortmund).”

Selepas pemain sayap Christian Pulisic menandatangani kontrak bersama Chelsea awal bulan ini, pengarah sukan Michael Zorc menyatakan kelab itu tidak akan menjual mana-mana pemain sebelum jendela perpindahan ditutup, malam esok dengan Dortmund berada pada landasan untuk merangkul kejuaraan Bundesliga pertama mereka sejak 2012.

Sesudah gagal mendapatkan Weigl, PSG mengikat tonggak tengah Argentina, Leandro Paredes, 24, Isnin lalu dari Zenit Saint Petersburg dengan perjanjian empat setengah tahun.

Bagaimanapun, keinginan Weigl untuk meninggalkan Dortmund dapat difahami, memandangkan kekurangan peluang beraksi dalam separuh musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:15 AM