PASUKAN Liga Super Perak memperagakan jersi baharu. FOTO Effendy Rashid
PASUKAN Liga Super Perak memperagakan jersi baharu. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


LEBIH 10,000 penyokong setia ‘The Bos Gaurus’ (TBG) hadir menyaksikan Pelancaran Kit Pasukan Liga Super Perak Musim 2019/2020 dirasmikan Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Dataran Bandaraya Ipoh, di Ipoh, malam ini.

Pelancaran penuh meriah itu menyaksikan dua jersi baharu pasukan Juara Piala Malaysia itu yang ditaja Umbro diperkenalkan dengan jersi pertama berwarna kuning, putih, hitam untuk perlawanan di gelanggang tuan rumah manakala jersi hitam, kuning, putih untuk perlawanan di gelanggang lawan.

Lebih unik, jersi pasukan ‘TBG kali ini turut mempunyai logo ‘Quit Smoking’ dan ‘Save Water’ sebagai langkah menyokong hasrat kerajaan mengurangkan jumlah perokok di negara ini dan penjimatan air.

Selain pelancaran kit pasukan, Perak turut memperkenalkan skuad musim ini yang mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dan juga jurulatih Mehmed Durakovic.

Perak musim ini mengekalkan tiga awang import musim lalu iaitu Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva selain mendapatkan khidmat bekas pemain pertahanan PKNS FC yang juga pemain kelahiran Australia, Zac Anderson.

Perak turut diperkuatkan dengan kehadiran penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi dan mengekalkan pemain kacukan kelahiran Australia, Brendan Gan; ketua pasukan, Shahrul Saad dan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jotthy.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, Perak tidak membuat banyak perubahan dan mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu disebabkan berpuas hati dengan prestasi sebagai Juara Piala Malaysia.

“Tidak banyak perbezaan skuad kerana kita adalah Juara Piala Malaysia dan juga Naib Juara Liga Super musim lalu, Insya-Allah  pada tahun ini kita akan cuba sebaiknya dan kali ini juga kita akan bertanding di  peringkat antarabangsa iaitu playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Kita akan bawa mesej ke peringkat antarabangsa iaitu logo ‘quit smoking’ (berhenti merokok) dan juga pesanan dari Lembaga Air Perak (LAP) untuk jimatkan air dan mesej ini akan tertera pada jersi pasukan,” katanya.

Ahmad Faizal ketika ditemui media berkata, PAFA akan melancarkan sehelai lagi jersi yang akan digunakan khas untuk ACL dan jersi berwarna putih, kuning dan hitam itu akan dilancarkan sebelum kejohanan itu bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:40 PM