Faizal (kanan) sudah adakan perbincangan dengan Durakovic. FOTO NSTP
Faizal (kanan) sudah adakan perbincangan dengan Durakovic. FOTO NSTP
Shamsul Kamal Amarudin


PERAK akan melakukan beberapa tindakan memantapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super seterusnya termasuk kemungkinan menambah satu atau dua lagi pemain import baharu apabila jendela perpindahan dibuka awal bulan depan.

Ketika ini, pasukan The Bos Gaurus (TBG) memiliki empat pemain import berbanding kuota lima pemain ditetapkan dengan desas-desus seorang daripadanya mungkin digugurkan jika juara Piala Malaysia musim lalu itu membuat keputusan menambah dua import baharu.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan jurulatih, Mehmed Durakovic, ketika makan malam bersama malam tadi.

"Dalam perbincangan itu, Mehmed ada mengemukakan beberapa cadangan bagi memantapkan lagi pasukan terutama memasukkan pemain baharu.

“Saya juga sudah sebut kepada Mehmed supaya tahap kecergasan pemain dipertingkatkan," katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Menteri Besar Perak itu juga meminta penyokong TBG dapat bersabar dengan prestasi pasukan itu yang tidak berapa baik ketika ini kerana apa yang dialami sekarang sebenarnya hampir sama dengan situasi awal musim dialami sebelum ini.

Ahmad Faizal berkata, cuma kelebihan musim lalu apabila Perak berjaya merangkul Piala Malaysia selain menduduki tangga kedua Liga Super.

"Musim ini prestasi Liga Super tidak memberangsangkan. Nasib tidak menyebelahi kita tetapi berada di suku akhir Piala FA. Banyak pasukan terbaik yang terkeluar, ini satu pencapaian terbaik.

"PKNP FC juga tunjuk prestasi baik, kita tidak merudum, kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir Piala FA, 'its not too bad (tidaklah teruk sangat), maknanya ada pasukan dari Perak yang akan melangkah ke separuh akhir piala berkenaan," katanya.

Mengenai desakan beberapa penyokong agar Perak mengambil jurulatih baharu, Ahmad Faizal berkata masalah pasukan tidak akan selesai jika setiap kali prestasi pasukan tidak baik, keputusan menukar jurulatih dilakukan.

Katanya, masalah prestasi turun naik juga dihadapi pasukan ternama dan kelab bola sepak antarabangsa, justeru apa yang lebih penting ialah memikirkan keputusan dan perancangan jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 6:45 PM