DURAKOVIC (kiri) dikatakan ada bertemu dengan Andik.
DURAKOVIC (kiri) dikatakan ada bertemu dengan Andik.
Azizan Hashim


PERAK sedang memburu dua awang import baharu bagi menggantikan Yashir Pinto dan Thiago Junio Aquino untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi kempen Liga M 2018.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Nayan berkata, Pinto harus diganti kerana pemain itu mengalami kecederaan manakala Thiago pula meluahkan hasrat untuk bersara.

Pinto adalah pemain kuota Asia sementara Thiago yang berasal dari Brazil sudah tiga musim bersama Perak.

Puhat berkata, tugas mencari pemain yang sesuai diserahkan kepada Setiausaha PAFA, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan jurulatih, Mehmet Durakovic.

Ahmad Shahrul dan Durakovic juga sedang mencari pemain tempatan yang sesuai untuk Perak bagi mengharungi kempen musim depan.

“Majoriti pemain skuad musim 2017 dikekalkan walaupun ada beberapa pemain diketepikan atau tidak disambung kontrak.

“Perak juga menerima permohonan daripada pemain pasukan lain untuk menyarung jersi kami.

“Rundingan sedang dijalankan tetapi saya tidak boleh mendedahkan identiti mereka kerana tidak mahu menjejaskan perbincangan,” katanya.

Mengenai ura-ura kedatangan pemain Selangor, Andik Vermansyah ke Perak, Presiden PAFA itu berkata beliau tidak tahu mengenainya walaupun ada mendengar mengenai pertemuan Durakovic dengan penyerang Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 9:12 PM